Biro Tatanegara


Mutakhir ini dunia politik negara kalut dengan isu pengharaman oleh Kerajaan Negeri Selangor buat kakitangan mereka dan juga mahasiswa universiti kelolaan kerajaan negeri dari menghadiri kursus Biro Tatanegara atau lebih dikenali sebagai BTN. Dan ura-ura yang terbaru adalah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang pula yang bakal mengikut jejak langkah kerajaan Selangor.

BTN yang mula wujud sejak 1974 ini dikatakan sebagai sebuah institusi latihan kenegaraan untuk warganegara Malaysia yang berkhidmat sebagai penjawat awam, mahasiswa universiti dan juga individu-individu persendirian yang merupakan warganegara. Tujuan utama BTN dikatakan adalah untuk memupuk semangat patriotik cintakan negara dan juga untuk memupuk semangat jatidiri dan disiplin yang tinggi dalam diri individu untuk berbakti dan berkhidmat pada negara. Isu – isu mengenai sosial, politik, agama dan juga hubungan kaum menjadi topik perbincangan utama sepanjang kursus BTN. Namun begitu walaupun niat murni BTN ini adalah untuk mewujudkan semangat patriotik dan perpaduan di kalangan peserta, menghairankan apabila seluruh kandungan kursus ini dari modul, topik perbincangan sehinggakan maklumat – maklumat dari ceramah – ceramah yang disampaikan telah diklasifikasikan sebagai bahan sulit kerajaan dan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan 1983. Seperti ada udang di sebalik batu, slogan perpaduan dan patriotisma dicanang, tetapi peserta dilarang pula membincangkannya di luar tempoh kursus.
Penekanan awal para fasilitator adalah hakikat bahawa ‘semenanjung emas’ ini telah dijajah lebih 446 tahun dan tujuh hari semenjak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis. Pengkhianatan para pedagang India dan Cina ketika itu turut ditekankan. Dan seperti yang diduga, sekarang ini ancaman terbesar pada kedaulatan negara ini datangnya dari Amerika dan juga proksi mereka di rantau ini iaitu; Singapura. Selain itu yang menjadi fokus para fasilitator adalah mengenai status kewarganegaraan yang telah diberikan kepada kaum ‘pendatang’ Cina dan India dan betapa pentingnya menghormati dan mengiktiraf Kontrak Sosial yang mengikut tafsiran mereka adalah merangkumi Artikel 152, 153 dan juga 181 Perlembagaan Persekutuan. Keistimewaan orang Melayu bukanlah untuk dipersoalkan.

 



Comments
Loading...