Ahmad Ismail: Gerakan patut minta maaf, bukan saya


Oleh G. Manimaran, The Malaysian Insider

Datuk Ahmad Ismail yang telah dibatalkan hukuman penggantungan keahlian dan dilucutkan hak-haknya dalam parti selama tiga tahun ekoran kenyataan menyentuh sensitiviti kaum berkata, beliau tidak akan memohon maaf selagi Gerakan enggan berbuat demikian.

“Gerakan yang perlu memohon maaf kepada saya. Bukan saya memohon maaf kepada mereka,” kata Ahmad kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Ahmad memberitahu Gerakan yang pada awalnya mengeluarkan kenyataan bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu memutuskan hubungan dan tidak memerlukan kerjasama Umno Pulau Pinang khususnya Umno Bukit Bendera.

“Kalau mereka tidak mahu kerjasama saya (sebagaimana dikatakan dulu), saya berharap mereka akan memohon maaf kepada saya jika mereka masih mahukan kerjasama Umno Bukit Bendera,” katanya.

Dalam pilhan raya umum lalu kata Ahmad, Umno Bukit Bendera tidak diberikan tiket untuk bertanding dalam sama ada di peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.

“Bahagian Bukit Bendera ada satu kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri. Wakil Umno tidak diberikan kerusi langsung untuk bertanding.

“Jadi mereka tidak mahu kerjasama kami semasa menghadapi pilihan raya. Tetapi kalau hendakkan kerjasama kami sekarang, Gerakan yang perlu memohon maaf kepada kami,” kata Ahmad lagi.

Semalam DAP mencabar MCA dan Gerakan keluar dari BN berikutan pembatalan penggantungan terhadap Ahmad.

READ MORE HERE: http://www.themalaysianinsider.com/



Comments
Loading...