PAC siasat kesahihan dokumen di Malaysia Today dakwa MAS rugi RM8b


(Bernama) – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan menyiasat kesahihan dokumen yang mendakwa Malaysia Airlines System (MAS) kerugian RM8 bilion bagi tempoh 1994 hingga 2001 sebelum mengambil tindakan susulan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat akan datang jawatankuasa itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima surat permohonan daripada Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) yang meminta jawatankuasa itu menyiasat kesahihan dokumen mengenai kerugian MAS sebanyak RM8 bilion.

Salahuddin dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen berkata, dokumen yang dibangkitkannya itu merujuk kepada laman blog Malaysia Today yang bertarikh 21 Julai 2009 yang mendakwa terdapat salinan surat daripada bekas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Ramli Yusuff, kepada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengenai kerugian MAS sebanyak RM8 bilion.

“Saya dapati ada beberapa perkara yang memerlukan penelitian dan penyiasatan yang lebih mendalam terhadap perkara ini,” katanya.

 



Comments
Loading...