Raja Petra aset pihak cuba jejas imej kerajaan


(Berita Harian) – Pengendali web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 59, yang kini dalam buruan polis dipercayai menjadi ‘aset amat berharga’ kepada individu atau pihak tertentu dalam cubaan menjejaskan imej pemimpin dan negara pada peringkat antarabangsa. 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata dakwaan itu berdasarkan kesanggupan individu atau pihak terbabit menanggung perbelanjaan penulis blog berkenaan termasuk hidup mewahnya sejak melarikan diri ke luar negara lapan bulan lalu.

“Walaupun diisytiharkan bankrap, beliau masih mampu tinggal di pangsapuri mewah di Gloucester Terrace, Bayswater, antara kawasan penempatan elit di London. 

“Mana dia dapat duit untuk tinggal di situ jika tidak ditaja pihak tertentu,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. 

Raja Petra menghilangkan diri selepas mahkamah mengeluarkan dua waran tangkap ke atasnya, masing-masing pada 23 April dan 23 Mei lalu kerana gagal menghadiri perbicaraan menerbitkn artikel berbaur hasutan dan fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau dituduh menerbit artikel Let’s Send The Altantuya Murderers To Hell yang disiarkan dalam laman web, www.malaysia-today.net pada 25 April 2008, selain dituduh memfitnah Rosmah serta dua yang lain dalam pengakuan bersumpah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta oada 18 Jun tahun lalu. 

Raja Petra dilaporkan hilang lapan bulan lalu dipercayai melarikan diri ke Australia sebelum dikesan bersembunyi di London baru-baru ini atas tajaan pihak tertentu yang mempunyai kepentingan dengannya. 

Mengulas lanjut, Dr Abdul Latiff yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, berkata terlalu banyak ‘keistimewaan’ pada penulis blog kontroversi itu sehingga menarik minat kumpulan itu melaksanakan misi ‘menghentam’ pemimpin dan kerajaan Malaysia. 

“Kita ada ramai penulis (blog) yang lantang mengkritik pemimpin dan kerajaan. Tapi, saya tidak tahulah apa ‘istimewa’ Raja Petra sampaikan banyak pihak sanggup berbelanja besar untuknya.

“Bukan hanya rumah, wang belanja, pengangkutan dan makan minumnya, malah pihak yang berkepentingan ini juga dipercayai membantunya menyusup keluar dari Malaysia dan menyediakan pasport palsu untuknya,” katanya. 

Justeru, Dr Abdul Latiff menggesa agensi berkaitan melalui rangkaian maklumat atau risikan menyiasat individu atau pihak tertentu yang menyokong penulis kontroversi itu termasuk motif mereka di sebalik tajaan berkenaan. 

Sementara itu, Jabatan Imigresen tidak mempunyai kuasa melakukan pemeriksaan atau menghubungi pihak berkuasa imigresen di sesebuah negara hanya untuk mengetahui lokasi seseorang rakyat Malaysia berada, menetap atau mengunjungi negara terbabit. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata identiti pengunjung sesebuah negara tidak boleh didedahkan kerana perkara itu menjadi hak imigresen sesebuah negara, malah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi pengunjung terbabit. 

“Setiap negara ada undang-undang imigresen. Kita melanggar kedaulatan negara itu jika memeriksa seseorang di sana walaupun rakyat kita,” katanya. 

 



Comments
Loading...