Berbeza Pandangan: Haron Din Hukum Parti Sendiri


Oleh NORUTUL ILHAM dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN, mStar Online

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din disifatkan `menghukum’ partinya sendiri kerana berbeza pendapat dalam isu penggunaan kalimah Allah.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, masyarakat memerlukan ulama yang berfikiran terbuka dalam membincangkan isu kontroversi itu yang polemik ketika ini.

“Saya ingat Dr Haron Din telah menghukum partinya sendiri. Kita perlukan ulama yang berfikiran terbuka dan bukannya ulama yang emosional dan sangat konservatif dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini.

Semalam, tokoh agama PAS itu berkata, pihak yang menyokong perkara seumpama itu boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

Beliau turut melahirkan kekesalannya terhadap beberapa penulis blog termasuk di kalangan beberapa pemimpin parti-parti politik yang menyatakan sokongan mereka kepada keputusan berkenaan.

Baru-baru ini Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad dalam blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan sebuah akhbar mingguan Katolik.

Pandangan beliau itu menimbulkan reaksi negatif daripada banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang menggesa Ahli Parlimen Shah Alam itu supaya keluar PAS.

Berhubung isu pengunaan kalimah Allah, Mohd Asri mencadangkan kerajaan mewujudkan peraturan khas bagi menyelesaikan konflik dalam isu tersebut.

Menurutnya, penggunaan kalimah itu perlu dilihat berdasarkan konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdiri daripada rakyat pelbagai agama dan kepercayaan.

“Garis panduan yang khusus perlu segera dikeluarkan kerana ia melibatkan sensitiviti umat Islam.

“Jika orang bukan Islam mengatakan May Allah bless you kepada orang Islam, perkara itu dilihat tidak mendatangkan kesan buruk atau sifat mempersendakan kalimah Allah sebaliknya jika kalimah Allah itu digunakan pada berhala dan perkara berkaitan dengannya ia sememangnya tidak boleh namun jika ia merujuk kepada Allah yang sebenarnya tidak ada masalah,” katanya.

Khamis lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Pada 16 Februari lalu, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit akhbar itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarangnya menggunakan perkataan Allah adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

 



Comments
Loading...