Siar artikel Teoh dibunuh, polis siasat pengarang Suara Keadilan
(Harakah Daily) – Akibat melaporkan ‘Pornthip sahkan Beck Hock dibunuh’, Pengarang bagi akhbar Suara Keadilan (SK) Dzulkarnain Taib petang tadi disoalsiasat oleh polis di IPD Shah Alam.
(Gambar: Dzulkarnain (tengah) bersama peguamnya selepas memberikan keterangan kepada polis di IPD Shah Alam)
Beliau yang ditemui kemudian, mengaku tidak bersalah ketika ditanya wartawan berhubung penulisannya itu.
Ekoran siasatan polis, beliau turut menjelaskan bahawa tulisannya itu tidak memberi sebarang kesulitan kepadanya.
Tambahnya lagi, tanggungjawab melaporkan berita sensitif berkaitan mendiang Teoh Beng Hock yang dijumpai mati di depan Plaza Masalan yang menempatkan pejabat SPR merupakan tugasan asas wartawan demi kepentingan awam.
“Saya hanya buat kerja saya sebagai wartawan,” jelas beliau menjawab soalan wartawan.
“Peranan media tidak boleh dipisahkan dari membincangkan apa-apa isu demi kepentingan awam secara umumnya.”
Beliau juga enggan mengulas lanjut tentang artikel tersebut, kerana bimbang mengganggu siasatan polis.
“Seperti mana yang saudara bacalah, saya tidak mahu komen lanjut sebelum ini,” jelasnya.
Bercakap pada sidang media yang sama, peguam bagi Dzulkarnain, Sanjit Singh berkata:
“Dia (Dzulkarnain) adalah seorang wartawan, dia menulis artikel (berita), ada satu laporan polis (berkaitannya) dan polis mengambil kenyataan (siasatan), itu semua prosedur biasa siasatan,” jelas.
Beliau turut menegaskan bahawa tulisan anak guamannya tidak bermotifkan prasangka.
“Kalau kami (tulisan Dzulkarnain), tidaklah prasangka,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Pegawai Penyiasat (IO) yang menyiasat anak guamnya turut tidak menjelaskan motif siasatan sebenar.
“Kami pun tak tahu (dan) tidak diberitahu bahawa siasatan ini untuk apa,” jelasnya.
Jumaat lalu, dua pegawai SPRM dilaporkan membuat aduan berhubung artikel Dzulkarnain yang dianggap berunsur subjudis.
Aduan tersebut merupakan pengalaman pertama bagi Dzulkarnain, sejak beliau bergiat sebagai wartawan SK.