Allah Untuk Semua!
Dr Dzulkefly Ahmad
Saya amat insaf isu penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.
Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.
Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau “Mixed”, kesan “senjata dua mata” atau “double-edged sword” ini tidak dapat dielakkan. Ada yang suka dan menyokong dan tentunya ada yang akan kecewa dan marah.
Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berdasarkan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.
Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.