Umno pasang perangkap dalam isu kalimah “Allah”
(Free Malaysia Today) – Apa pun kontroversi yang tercetus di sebalik isu penggunaan kalimah Allah, masyarakat khususnya orang Islam perlu bertenang dan tidak terikut-ikut dengan mainan emosi yang cuba disemarakkan oleh Umno dan NGO bonekanya.
Tindakan provokasi Umno dan kumpulannya itu sebenarnya memburukkan lagi suasana dan mencemarkan lagi imej agama Islam yang mengajar penganutnya supaya rasional dan berhikmah.
Lakonan Umno ini memang melucukan memandangkan parti itulah suatu masa dulu ghairah mahu menghapuskan perkataan Islam pada PAS atas alasan kononnya tidak mahu ia disalahguna. Ada pemimpin Umno juga yang celupar mulut memperlekeh undang- undang dan hukum-hakam Islam.
Tetapi dalam isu Allah, mereka kemaruk pula menonjolkan diri sebagai wira agama kononnya, termasuk berdemonstrasi yang suatu masa dulu mereka kata ia satu perbuatan bodoh dan membuang masa.
Memang diakui isu ini sangat sensitif, kerana itu menangani isu sebegini perlu bijak dan rasional.
Bagi kalangan ulama Islam, terdapat dua pendapat berkenan perkara ini. Antara ulama yang mengharuskan penggunaaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah Syeikh Fauzi Al-Zafzaf, iaitu bekas Timbalan Reaktor Al-Azhar yang sekarang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Dialog Antara Agama Universiti Al-Azhar.