Antara RPK dan Ku Seman


Antara RPK dan Ku Seman, siapa yang lebih berwibawa?

By Utuh Paloi

Saya tidak mengenali Ku Seman, tidak juga RPK. Cuma saya pernah membaca tulisan Ku Seman semasa beliau ‘bertelagah’ dengan Sudirman Haji Arshad sebelum allahyarham dinobatkan sebagai penghibur terbaik Asia di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989.

 

Izinkan saya mengembalikan sedikit ingatan kepada saudara Ku Seman untuk tatapan pembaca budiman.

 

Episod pertelegahan Ku Seman dengan Sudirman yang disiarkan Utusan Malaysia lewat tahun 80an meninggalkan kesan mendalam sehingga mengubah persepsi saya tentang kehebatan beliau mengamalkan etika kewartawanan. Tidak usahlah saya panjang lebarkan tapi cukup sekadar mengingatkan bagaimana beliau membuat serangan peribadi terhadap Sudir. Tidak cukup dengan mempersoal kejayaan Sudir memukau lebih seratus ribu penonton semasa mengadakan konsert di Chow Kit (15 April 1986), vokal dan peribadi Sudir pula diserang. Saya harap, Ku Seman dapat mempertikai apa yang saya tulis dengan menyiarkan kembali siri ‘pertelagahan’ itu tanpa disunting.

 

Hari ini saya terbaca lagi tulisan Ku Seman yang dipetik oleh Malaysia Today. 

 

Kalau RPK sendiri yang menjawab, mungkin sukar untuk Ku Seman memahami kerana lazimnya ia ditulis dalam Bahasa Inggeris. Oleh itu, biarlah saya menjawabnya dalam Bahasa Melayu (bukan Bahasa Malaysia).

 

Ku Seman menulis “Dia (RPK) mahu menunjukkan bahan yang disiarkan dalam Malaysia Today tidak berani disiarkan oleh organisasi media berwibawa”

 

Sudah terang lagi bersuluh. Sejak parti politik menjadi majikan akhbar perdana, akhbar-akhbar ini dan Utusan Malaysia khususnya terpaksa menukar kiblat ke Menara Dato’ Onn tempat terletaknya ibu pejabat UMNO. Minda dan tulisan balaci-balacinya (wartawan) terkongkong.  Kalau ada yang berani menerjah keluar dari ‘penjara minda’, alamat hilanglah punca pencarian. Berapa kali Utusan pernah menyiarkan berita dan tulisan mirip seperti apa yang tersiar di Malaysia Today?

 

Dan Ku Seman tentu arif kenapa ketua balaci yang bernama Zainudin Maidin (ZAM) terpaksa bersara dari Utusan.

 

Ku Seman menyambung “Dia (RPK) tidak faham definisi fitnah dan tidak pernah bertanggungjawab tentang apa yang ditulis”

 

Soalan saya, “Apa hubung-kait Johan Jaafar, DSAI dan Utusan?” 

 

Sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, di mana Ku Seman ketika akhbar-akhbar arus perdana ‘berpesta’? DSAI telah ‘dibogelkan’, diaibkan, didakwa, dibicarakan dan dihukum oleh akhbar milik kerajaan lama sebelum pendakwaan dijalankan. Bukan fitnahkah namanya kalau mensensasikan berita yang kesahihannya dipertikai oleh ramai rakyat yang waras fikiran?

 

Ku Seman tentu mengerti pepatah Melayu, “Jangan meludah ke langit, nanti jatuh ke muka sendiri.”

 

Sambungnya lagi “Sebenarnya dia (RPK) bukan siapa-siapa. Bukan juga wartawan, jauh sekali pengarang yang pernah berkhidmat dengan organisasi media berwibawa”

 

Apa pengertian wibawa? Memadam lambang Barisan Nasional yang tertera di payung yang  menutup jenazah mangsa pembunuhan pada 9.11.2009 itu berwibawakah namanya? Rujuk “art-haron.blogspot.com”

 

Ketika UMNO (Mahathir) berkonflik dengan istana, dan media seperti lalang ditiup angin, melintuk mengikut hembusan, menari mengikut rentak dan kehendak pemerintah,  mengaibkan raja-raja Melayu, di manakah Ku Seman dan Utusan ketika itu? Berwibawakah wartawan dan media yang menjadi kerbau dicucuk hidung?

 

Read more at: Antara RPK dan Ku Seman



Comments
Loading...