‘Allah’ milik siapa?


Alkisah. Melayu itu semuanya Islam tapi Islam tidak semestinya Melayu. Islam itu berkait rapat dengan Allah tapi adakah Allah itu milik mutlak orang Melayu?

By Utuh Paloi

Setelah sekian lama, barulah jelas kenapa isu Allah sukar ditangani. Akhirnya ada juga pak menteri yang berani berterus terang. Atau tersilap cakap?

“Those people not in politics, they can say anything. But people like me, I depend on my voters.” Atau dalam Bahasa Melayu “Mereka yang di luar politik boleh berkata apa saja. Tapi, orang seperti saya, bergantung kepada pengundi.”

Perkataan ‘saya’ sepatutnya diganti dengan ‘kami’ kerana kenyataan Datuk Seri Nazri sebenarnya mewakili majoriti ahli politik UMNO dan segelintir Pakatan Rakyat. Umum tahu bahawa UMNO hari ini tak ubah seperti orang yang hampir lemas dibawa arus deras dan akan memegang apa saja untuk dijadikan talian hayat. Bila nyawa sudah sampai di kerongkong, ranting pun boleh dibuat tempat bergantung.

Ringkasnya, pemimpin UMNO bukan lagi memimpin tapi dipimpin oleh anak cucu ‘pak kaduk’ yang masih riuh berpesta walaupun kampung sudah lama tergadai.

Kenyataan Nazri seterusnya boleh juga membawa tafsiran bahawa Allah kini sudah mempunyai dua wajah. Di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah persekutuan, Allah berwajah universal,  manakala di negeri-negeri lain Dia bersifat perkauman. Kenapa?

Allah, seperti juga Ketuanan Melayu, sudah dijadikan senjata politik. Senjata itu bertambah ampuh apabila ‘enakmen’ negeri-negeri di Semenanjung dijadikan kubu untuk berlindung. Walaupun enakmen itu boleh dipinda, mereka yang berkuasa tidak akan melakukannya selagi belum terdesak, selagi belum mendapat isyarat jelas perubahan angin pengundi Sabah dan Sarawak.

Kalau UMNO tidak menganggap isu Allah sebagai senjata penting, masakan KDN sendiri yang membuat rayuan sekali gus menyanggah keputusan hakim mahkamah tinggi. Dan secara tidak langsung memberi isyarat kepada mahkamah rayuan supaya tidak membuat keputusan serupa. Apabila kementerian melenting, mempertikai keputusan hakim, maka telinga nipis orang Melayu pun terus berdesing.  

Orang Melayu yang kononnya mempertahan kesucian agama hilang pertimbangan, sehingga sanggup bertindak liar. Apa rasanya kalau orang lain merosakkan masjid, surau dan madrasah kita?

Selama ini kita marah bila Barat mengaitkan Islam dengan keganasan. Orang Melayu yang bertindak ganas ke atas gereja dan kuil sebenranya me’rubber-stamp’kan tanggapan Barat – Islam sinonim dengan keganasan. Manakala sikap toleransi dan kesabaran pihak yang jadi mangsa menaikkan lagi imej agama mereka sebagai pendokong keamanan.

Read more at: http://utuhpaloi.xbrain.biz/allah-milik-siapa/



Comments
Loading...