Suara Reformis Tulen dalam Umno/BN?


Dr Dzulkefly Ahmad

Bagi memetik ungkapan Warren Bennis, seorang pakar ilmu kepimpinan, katanya: ’kepimpinan adalah seumpama kecantikan, sukar hendak ditakrif, namun anda akan tahu ketika berdepan dengannya’. Dalam suasana kerajaan BN yang semakin pupus kepemimpinannya, penulis berani mengakui bahawa dalam peribadi YBM Tengku Razaleigh yang lebih mesra di kalangan ‘saing’ dengan panggilan Ku Li, terserlah ketokohan kepemimpinan peribadi ini.

Keterlibatan dan pengenalan penulis meskipun ringkas dengan peribadi yang merupakan pengasas serentak pengerusi pertama Petronas ini, menyerlahkan ketelitian beliau dalam membuat perhitungan-perhitungan strategik. Lebih mudah merumuskan kehebatan kepimpinannya, dilihat di segi kekalahan tipis beliau di tangan pesaingnya dalam pertandingan satu-lawan-satu dalam perebutan kedudukan presiden yang sekaligus berakhir dengan perpecahan dan pengharaman Umno dalam sejarah jatuh-bangun parti Melayu terbesar itu.

Tentunya setiap seorang pemimpin punya kehebatan tersendiri serta juga kelemahannya selama sifatnya ‘insan’ dan ‘nisyan’ (terlupa).  Itu ‘makruf’ atau maklum buat semua. Tidak ada gading yang tidak retak dan tidak ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Namun berbicara tentang kepimpinan, satu komoditi yang agak sukar dicari mutakhir ini, peribadi Tengku Razaleigh punya keunikan tertentu.

Dalam pelbagai kemelut negara yang seakan tidak berhujung dan kegawatan yang tidak kian pulih, negara sangat-sangat berhajatkan kepada penampilan lebih ramai tokoh-tokoh pemimpin. Pada persimpangan kritikal ini, suara putera di raja Kelantan ini, memecah kebingungan dan tembok kebuntuan masalah cetusan parti dan pemerintahan yang turut didukunginya.

Kelantangan pidatonya dan kejituan faktanya tentang isu sengit  ‘royalti minyak’ yang berpotensi memecahkan ummat di negara ini, menyerlahkan kelompangan dan ketandusan retorik Perdana Menteri 1- Malaysia, yang sehingga kini tidak menemui sentuhan ajaibnya. Cukup mengaibkan serta menyiksa batinnya. Ku Li pernah menyebutkan bahawa “retorik tanpa isi dan bukti menatijahkan benci dan sakit hati”.

READ MORE HERE 



Comments
Loading...