RPK Speaks His Mind – Anwar’s Sodomy II Trial (UPDATED with BM Translation)


 

{youtube}P3Gc6f5O4Qo{/youtube}

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

SEE VIDEO ON YOUTUBE HERE http://www.youtube.com/watch?v=P3Gc6f5O4Qo 

 

Translated into BM by Jason:

Sebelum perbicaraan (perbicaraan Liwat II Anwar) bermula pun, dah ada banyak yang tak kena dengannya.

Contohnya, mereka enggan mengemukakan bukti dan maklumat mengenai bukti yang mereka (Pendakwa) miliki terhadap Anwar.

Apabila seseorang didakwa, mereka perlu diberikan peluang bagi mendapat pembelaan terbaik, dan pembelaan terbaik hanya dapat diperoleh apabila tertuduh mendapat maklumat yang secukupnya tentang bukti-bukti yang berkaitan dengan kesnya.

Anwar tak diberikan maklumat yang mencukupi.

Beliau hanya diberitahu, “Kami ada bukti terhadap awak, tapi kami hanya akan mengemukakannya di mahkamah.”

Mana mungkin Anwar membela diri dan merangka pembelaan tanpa mengetahui mengenai bukti-bukti yang berkaitan dengan kesnya.

“Apakah bukti yang ada terhadap saya, yang mana saya perlu membela diri darinya?”

Mereka enggan memberitahu Anwar mengenainya.

Anwar telah memfailkan permohonan di mahkamah, yang mana dia meminta Pendakwa mendedahkan bukti-bukti yang wujud terhadap dirinya. Ini adalah bagi membolehkannya merancang pembelaannya. Tapi mereka enggan mendedahkannya.

Mereka kata bahawa mereka tak perlu berbuat demikian, sedangkan hakikatnya adalah mereka perlu mendedahkannya.

Misalnya, Pendakwa perlu membekalkan senarai saksi yang akan dipanggil memberi keterangan sebelum perbicaraan bermula.

Tapi dalam kes Anwar, semasa perbicaraan berlangsung, mereka berkata, “Okey, kami akan panggil beberapa orang saksi.”

Kemudian, seminggu selepas perbicaraan, mereka menambah bilangan saksi yang akan dipanggil, dan sebulan selepas perbicaraan, mereka menambah lagi.

Jadi, makin lama, makin ramai pula saksi yang dipanggil. Maka apa ertinya peraturan yang mensyaratkan senarai saksi diberikan kepada tertuduh sebelum perbicaraan bermula? Ni dah jadi kes tumbuk curi… serang hendap.

Senang-senang je… bila-bila mereka fikir mereka perlu menguatkan kes mereka, mereka tambah saksi.

Mereka juga berbuat begitu semasa perbicaraan saya. Mereka kata bahawa mereka akan memanggil tujuh orang saksi.

Tiba-tiba, mereka memberitahu mahkamah bahawa mereka akan memanggil 13 orang saksi.

“Jadi, adakah itu jumlah saksi yang akan dipanggil, iaitu 13?”

“Oh tak… lagi 13 orang.”

Jadi, akhir sekali, ada 20 orang saksi yang akan dipanggil.

“Tapi mula-mula awak kata awak nak panggil 7 orang saja.”

“Ya, tapi kami memutuskan untuk memanggil lagi 13 orang saksi.”

Peguam saya bertanya, “Siapa saksi-saksi tambahan tu?”

“Oh, kami belum boleh beritahu.”

“Kenapa?”

“Kami belum memutuskannya.”

“Hei, awak kata awak dah memutuskan untuk memanggil 13 orang saksi tambahan. Tapi awak kata awak tak boleh beri nama saksi-saksi tu kepada kami kerana awak belum memutuskan siapakah saksi-saksi tambahan tu. Kalau awak tak tahu siapakah mereka, maka macam mana awak tahu jumlahnya adalah 13?”

“Mungkinkah ianya nanti akan jadi 10 ataupun 30 orang saksi?”

Jadi, angka 13 tu hanya digunakan supaya mereka dibenarkan mahkamah untuk memanggil maksimum 13 orang saksi.

Mereka memberitahu mahkamah bahawa mereka perlu memanggil 13 orang saksi. Tapi kalau mereka yakin bahawa hanya 10 orang saksi diperlukan bagi memenangi kes tu, mereka hanya akan panggil 10 orang saksi. Jadi, mereka sebut awal-awal 13 orang saksi supaya mahkamah membenarkan mereka memanggil 13 orang saksi jika itulah bilangan saksi yang diperlukan bagi memenangi kes berkenaan.

Hakikatnya adalah mereka memperkudakan sistem (perundangan).

Mereka tak mematuhi sistem yang ditetapkan oleh diri mereka sendiri.

Perkara yang sama berlaku dalam kes Anwar.

Mari kita imbas kembali perkara yang berlaku semasa perbicaraan Liwat I.

Kalau anda masih ingat… apabila Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman bagi kes pertama yang berhubung dengan penyalahgunaan kuasa, dia dijatuhi hukuman 6 tahun penjara. Hukuman bagi sabitan kedua pula, iaitu bagi kes liwat adalah 9 tahun penjara. Jadi, jumlahnya adalah 15 tahun penjara.

Hukuman penjara dikira dari tarikh hukuman dijatuhkan. Tapi masa tu, Anwar dah pun meringkuk selama 7 bulan di dalam penjara. Tapi mereka kata, “Tidak! Ia (hukuman penjara) tak dikira bermula dari tarikh dia ditahan, tapi bermula dari tarikh hukuman dijatuhkan.”

Tapi 7 bulan sebelum tu, dia ditahan di penjara tanpa kerelaannya. Dia memohon jaminan tapi ditolak. Peguam Negara memberitahu mahkamah bahawa mahkamah perlu menolaknya kerana Anwar adalah ancaman kepada keselamatan negara dan demonstrasi jalanan berlaku disebabkannya.

Mmm… awak enggan membenarkan permohonan jaminan Anwar bagi pertuduhan salah guna kuasa atas alasan bahawa Anwar adalah ancaman kepada keselamatan negara dan demonstrasi jalanan berlaku disebabkannya. Gitu?

Tapi dia bukannya didakwa atas alasan bahawa beliau adalah ancaman kepada keselamatan negara ataupun kerana beliau menganjurkan demonstrasi haram. Sebaliknya, beliau didakwa bagi sesuatu yang berbeza, iaitu salah guna kuasa.

Kedua-dua isu tu tak ada kaitan langsung. Tapi mereka menggunakan satu isu (ancaman kepada keselamatan negara) bagi menolak permohonan jaminan bagi pertuduhan yang tiada kaitan dengan alasan penolakan.

Jadi, Anwar terpaksa meringkuk selama 7 bulan tambahan di dalam penjara. Maka Anwar sebenarnya dijatuhi hukuman penjara 15 tahun 7 bulan.

Seterusnya, apakah hujah atas sabitan terhadap Anwar? Menurut hakim perbicaraan, Anwar didapati bersalah kerana Anwar gagal membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau tak bersalah. Dengan sebab tu, Anwar didapati bersalah.

Helo kawan… mahasiswa tahun 1 jurusan undang-undang pun tahu bahawa beban pembuktian tak terletak di bahu Anwar. Sebaliknya, pihak Pendakwa yang perlu membuktikan bahawa Anwar bersalah.

Baiklah… dalam kes Anwar, adakah Pendakwa berjaya membuktikan bahawa Anwar bersalah? Tidak.

Walau bagaimanapun, (menurut Hakim) Anwar gagal membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau tak bersalah. Padahal beliau tak perlu pun membuktikan bahawa beliau tak bersalah.

Tapi menurut Hakim, disebabkan Anwar gagal membuktikan kepada mahkamah bahawa beliau tak bersalah, maka dia didapati bersalah, dan BUKANNYA kerana Pendakwa berjaya membuktikan bahawa Anwar bersalah. Malah perkara ni (alasan Anwar didapati bersalah) dimasukkan dalam penghakiman bertulis.

Jadi, anda tentunya sedar bahawa peraturan yang ditetapkan (dalam kes Anwar) bukanlah peraturan yang biasa digunapakai (dalam lain-lain perbicaraan).

Sebaliknya, peraturan yang ditetapkan (dalam kes Anwar) direka semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Okey, anda fikir perkara yang sama takkan berlaku dalam perbicaraan Liwat II? Bahkan sebelum perbicaraan bermula pun, mereka menafikan hak Anwar bagi memperoleh maklumat mengenai bukti yang akan dikemukakan di mahkamah.

Berapa ramai saksikah yang akan dipanggil? Kita tak tahu kerana mereka (Pendakwa) enggan mendedahkannya, sedangkan senarai saksi perlu dibekalkan sebelum perbicaraan bermula.

Jadi, mereka akan menyerang hendap Anwar dan ini akan dilakukan berdasarkan perjalanan kes, iaitu sama ada kemenangan berpihak kepada mereka ataupun tidak. Inilah yang mereka lakukan dalam perbicaraan Liwat I, termasuklah perbicaraan yang melibatkan pertuduhan salah guna kuasa pada 1998.

Saya tak nampak sebarang perubahan dalam modus operandi mahupun strategi mereka. Sekarang ni, mereka dah pun memberikan isyarat bahawa mereka akan menggunapakai prosedur, strategi dan modus operandi yang sama seperti yang mereka gunakan dalam perbicaraan Liwat I, lebih kurang 10 ataupun 11 tahun yang lalu.



Comments
Loading...