76 NGO Melayu tubuh majlis perundingan pertahan hak Melayu dan Islam


(Bernama) – Sebanyak 76 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bergabung hari ini bagi menubuhkan Majlis Perundingan NGO Melayu (MPM) dalam usaha mempertahankan dan melindungi hak-hak Melayu serta agama Islam di negara ini.

Antara NGO yang menyertai MPM ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, yang bertindak sebagai wakil pertubuhan itu, berkata, peranan MPM adalah sebagai pelindung dan benteng kepada pihak yang semakin hari cuba mengganggu-gugat hak-hak keistimewaan serta ekonomi orang Melayu, kedudukan agama Islam dan ketuanan raja-raja Melayu di negara ini.

“Pada masa sama, kita juga akan jadi pendesak yang berhemah kepada kerajaan supaya kerajaan tidak lari dan menyeleweng daripada perkara asas dalam Perlembagaan negara berdasarkan Perkara 153,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MPM di Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Beliau berkata, satu persidangan meja bulat bersama-sama semua anggotanya akan diadakan pada 7 Mac ini untuk membincangkan hala tuju ekonomi orang Melayu apabila Model Ekonomi Baru (MEB) diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelak.

 



Comments
Loading...