Berbalah dengan Najib, portal Muhyiddin tutup
(Free Malaysia Today) – Persaingan politik antara kem Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bos beliau Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin meruncing apabila laman web Timbalan Perdana Menteri itu ditutup sejak seminggu lalu, selepas dilancarkan baru dua bulan.
Laman sesawang rasmi milik Muhyiddin, www.my-malaysia.com.my, ditutup tanpa sebarang notis setelah ia dilancarkan pada Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri, 30 Januari lalu.
Ketika dihubungi, seorang pegawai pejabat Muhyiddin mendakwa portal tersebut mengalami masalah teknikal dan mendakwa ia akan diaktifkan semula dalam “sedikit masa.”
Namun “kehilangan” laman web itu tetap menimbulkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang tidak kena antara Najib dan Muhyiddin.
Beberapa pihak beranggapan portal itu samada diarah tutup oleh pihak tertentu dalam Jabatan Perdana Menteri atau digodam oleh pihak upahan kem pro-Najib.
Portal yang membawakan tema “MY Malaysia – Muhyiddin Yassin Untuk Malaysia” itu membawa aspirasi dan buah fikiran orang nombor dua dalam kerajaan itu.
Namun beberapa pihak di dalam dan luar Umno melihat isi pandangan Muhyiddin itu bercanggah dengan konsep-konsep yang dicanang oleh Najib menerusi slogan Satu Malaysia.