MAKLUMBALAS ARTIKEL MALAYSIA TODAY BERTARIKH 26 FEBRUARI 2010


Dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2.         Merujuk kepada laporan/aduan bertajuk “Ringkasan Kronologi Projek e-Tanah” di Malaysia Today bertarikh 26 Februari 2009. Izinkan pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengemukakan maklumbalas berkaitan laporan/aduan tersebut.

3.         Bersama-sama ini disertakan maklumbalas yang berkenaan untuk tindakan pihak tuan/puan.

 Sekian, terima kasih.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,
(YAMUNA A/P PERIMALU)
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Tel     : 03-8886 1790

 

 

MAKLUM BALAS  TERHADAP ARTIKEL

 

Media Cetak/ Online/ Elektronik                    : Malaysia Today
Tarikh Disiarkan                                          : 26 Februari 2010
Tajuk Artikel/ Surat Kepada Pengarang          : Ringkasan Kronologi Projek  e-Tanah

Malaysia Today pada 26 Februari 2010 telah menyiarkan satu artikel daripada Kamaruddin Mohamad mengenai kronologi pelaksanaan Projek e-Tanah. Artikel tersebut antara lain menyentuh tentang kegagalan pelaksanaan Projek Perintis e-Tanah di Pulau Pinang serta pelaksanaan Projek Peluasan Sistem e-Tanah di Negeri Sembilan dan Melaka.

 

PERKARA-PERKARA YANG HENDAK DIMAKLUMKAN

Pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ingin memberi penjelasan terhadap beberapa isu yang telah dibangkitkan oleh En Kamaruddin Mohamad dalam artikel beliau. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:

A.          Kabinet meluluskan peruntukan sebanyak RM840 juta pada tahun 2005

Artikel tersebut menyatakan bahawa Kabinet pada tahun 2005 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM840 juta kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk melaksanakan Projek e-Tanah di semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Ulasan

Kabinet tidak pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM840 juta pada tahun tersebut seperti yang didakwa. Jemaah Menteri hanya bersetuju dengan cadangan peluasan Projek e-Tanah secara berperingkat mengikut zon dengan anggaran kos sebanyak RM840 juta pada 9 Mei 2007.

 

B.          YAB Dato’ Seri Abdul Najib bin Tun Razak melancarkan Projek e-Tanah Pulau Pinang pada Oktober 2007

Artikel tersebut melaporkan bahawa YAB Dato’ Seri Abdul Najib bin Tun Razak (Timbalan Perdana Menteri) telah diberikan penghormatan untuk melancarkan Projek e-Tanah Pulau Pinang pada Oktober 2007).

Ulasan

Projek Perintis e-Tanah di Pulau Pinang tidak pernah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Abdul Najib bin Tun Razak. YAB Dato’ Seri hanya diberi penerangan mengenai status pelaksanaan projek tersebut dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-63 pada 20 November 2007 di mana beliau bertindak sebagai Pengerusi mesyuarat tersebut.

 

C.          Projek e-Tanah Pulau Pinang dilaporkan gagal oleh media tempatan

Artikel tersebut menyatakan bahawa media tempatan pada Disember 2007 telah melaporkan mengenai kegagalan Projek Perintis e-Tanah di Pulau Pinang.

Ulasan

Laporan media tempatan yang dimaksudkan ialah artikel di dalam akhbar “The Star” bertarikh 22 Disember 2007 yang telah melaporkan mengenai Sistem e-Tanah dengan tajuk “e-Tanah System Lets Many Down”. Di dalam laporan berkenaan, akhbar tersebut telah mengutarakan rungutan daripada beberapa pelanggan/runners di PTG Pulau Pinang yang mengadu bahawa pelaksanaan Sistem e-Tanah telah menyebabkan tempoh masa menunggu yang lama berbanding dengan sistem yang sedia ada sebelum ini.

Laporan tersebut tidak menggambarkan situasi yang sebenar berlaku di PTG Pulau Pinang, di mana situasi tersebut hanya berlaku pada waktu puncak sahaja (November – Disember). Keadaan tersebut berlaku bukan sahaja disebabkan oleh sistem yang belum stabil (Sistem e-Tanah baru sahaja dilaksanakan secara ‘live’ pada 1 Oktober 2007), malahan kekurangan bilangan kaunter turut menyumbang kepada situasi tersebut.

Mengikut rekod, sejak Sistem e-Tanah dilaksanakan secara live di PTG Pulau Pinang, seramai 1,387 pelanggan telah diberi perkhidmatan melibatkan 7,496 urusan, dengan purata pelanggan seramai 77 orang dan 416 urusan sehari.

 

D.          Isu kegagalan Projek e-Tanah Pulau Pinang telah dibawa ke Dewan Rakyat

Artikel tersebut menyatakan bahawa isu kegagalan Projek e-Tanah Pulau Pinang telah dibawa ke Dewan Rakyat, merujuk kepada Laporan Hansard 29 Oktober 2008.

Ulasan

Pertanyaan mengenai Projek e-Tanah ini telah dikemukakan oleh YB. Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang] di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2008. Beliau bertanyakan mengenai masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan Projek e-Tanah. YB. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai perkara tersebut.

 

E.          Pelaksanaan Projek e-Tanah ke Negeri Sembilan dan Melaka

Artikel tersebut menyatakan bahawa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah memaklumkan kesinambungan pelaksanaan Projek e-Tanah ke Negeri Sembilan dan Melaka oleh kumpulan syarikat yang sama dengan kos sebanyak RM130 juta.

Ulasan

Projek Peluasan Sistem e-Tanah di Negeri Sembilan dan Melaka sedang dilaksanakan oleh HDTech-iLaunch-EpiWeb-InfoGeomatik JV Sdn. Bhd. (JVCo) dengan kos sebanyak RM124,333,793.95.

Syarikat JVCo adalah merupakan satu syarikat Bumiputera yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek peluasan ini. Syarikat iLaunch Sdn. Bhd. yang melaksanakan Projek Perintis e-Tanah di Pulau Pinang tidak terlibat dalam pelaksanaan projek peluasan ini, walaupun nama syarikat tersebut terdapat dalam JVCo di peringkat awal.

 

F.          Tender Perolehan Perkhidmatan Sokongan Teknikal Projek Perintis e-Tanah di Pulau Pinang

Artikel tersebut menyatakan bahawa tender bagi Perolehan Perkhidmatan Sokongan Teknikal Projek Perintis e-Tanah di Pulau Pinang dikeluarkan untuk mengaburi  mata rakyat.

Ulasan

Perkhidmatan Sokongan Teknikal diperlukan bagi membolehkan kesemua aduan yang dilaporkan oleh pengguna-pengguna e-Tanah direkodkan dan diselesaikan oleh pihak kontraktor. Pihak kontraktor juga telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh Khidmat Sokongan Teknikal selama dua (2) bulan dari Januari hingga Februari 2010 secara percuma bagi memastikan kejayaan projek ini.

Aplikasi e-Tanah yang kompleks memerlukan masa untuk mencapai kestabilan sepenuhnya. Aplikasi ini perlulah digunakan oleh pengguna sepenuhnya bagi mencapai kestabilan yang dikehendaki. Secara umumnya, pembangunan mana-mana aplikasi ICT tidak dapat menghasilkan aplikasi yang ‘bugs free’, lebih-lebih lagi aplikasi seumpama e-Tanah yang kompleks dan ‘customised’ kepada pentadbiran dan pengurusan tanah ini.

Sehubungan itu, khidmat sokongan teknikal perlu diteruskan untuk menjamin operasi pentadbiran tanah dapat dilaksanakan secara optima melalui Sistem e-Tanah. Dengan adanya khidmat sokongan teknikal, Sistem e-Tanah akan dapat distabilkan serta juga penambahbaikan yang perlu akan dapat dibuat.

 

KESIMPULAN

Projek e-Tanah bukanlah satu kegagalan seperti yang dinyatakan di dalam artikel tersebut. Sistem e-Tanah, seperti sistem-sistem yang lain memerlukan masa untuk mencapai tahap kestabilan yang optimum. Pihak Kementerian sentiasa memantau projek ini agar objektif pelaksanaannya dapat dicapai.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 

Saya yang menurut perintah,

                  t.t

(YAMUNA A/P PERIMALU)

bagi pihak Ketua Setiausaha
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar
Tel     : 03-8886 1790



Comments
Loading...