Zulkifli Nordin yang saya kenal — Zulkifli Sulong


(The Malaysian Insider) – Saya mula mengenali Zulkifli Noordin sejak isu Aishah Bukhari, gadis Melayu dari Johor yang keluar Islam dan menyertai Kristian kerana mengikut kekasihnya.

Ketika itu Zulkifli Noordin adalah Setiausaha Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Kerana kedudukannya di situ,

Masjid Jamek menjadi pusat kegiatan menangani isu murtad itu. Sejak itulah, saya mula kagum dengan keberanian Zul.

Namun, hari demi hari, sebagai wartawan keyakinan dan kekaguman saya kepada beliau mula terhakis. Ia bermula sejak dia mengendalikan isu Aishah Bukhari lagi.

Kenyataan, bahasa yang digunakan, fakta yang diberikan sangat hebat. Namun, di dalam hati kecil saya mula tertanya-tanya…betulkah segala kenyataan ini.

Yang paling ketara, kenapa beliau begitu berani membuat kenyataan yang bersifat hasutan tetapi beliau tidak pernah dilaporkan dipanggil atau disiasat oleh polis. Padahal apa yang beliau nyatakan dalam ucapan dan kenyataannya amat sensitif kepada hubungan kaum di negara ini ketika itu.

Sebagai wartawan yang sudah acap kali disiasat polis kerana laporan hasutan dan fitnah, saya rasa faham benar apakah dia hasutan dan fitnah ini.

Namun saya sejukkan hati…mungkin dia lebih tahu dan apa yang dinyatakan itu tidak bertentangan dengan undang-undang kerana dia peguam.

Lepas isu Aishah Bukhari, datang isu Anwar Ibrahim. Zul telah dilantik sebagai salah seorang peguam Anwar. Ekoran itu, keraguan saya terhadap Zul terlerai begitu sahaja. Tentu Anwar dan pasukannya lebih kenal Zul dari saya yang hanya seorang wartawan cabok. Tentu beliau betul. Itulah yang bermain di kepala saya ketika itu.

Namun, hari demi hari kes Anwar berjalan…keraguan terhadap Zul datang kembali. Ceramah yang beliau berikan sangat ramai pendengar dan penontonnya. Namun, kenyataan-kenyataan yang beliau buat dalam ceramahnya mula meragukan saya.

Misalnya, apabila beliau bercakap soal Anwar terkena Arsenik. Saya masih ingat lagi kata-kata Zul dalam ceramahnya. Kalau tidak silap di sekitar Kampung Baru pada tahun 1998.

“Tuan-tuan, semalam saya ke Sungai Buluh bertemu dengan Datuk Seri Anwar. Bagi saya Anwar sah terkena racun Arsenik. Apabila saya pegang kepala Datuk Seri Anwar, penuh tangan saya dengan rambut beliau tuan-tuan. Rambut beliau mula gugur. Saya yakin lepas ini semua rambut Anwar akan gugur….” Begitulah lebih kurang kata-kata Zul Nordin dalam ceramahnya itu.

Pendengar sangat hiba dengan Anwar. Terkena Arsenik.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...