Ibrahim Ali, PERKASA dan Ku Klux Klan


Rupanya PERKASA bukan untuk pribumi, PERKASA hanya untuk Melayu.  Jangan salah tanggap, bukan Melayu seperti saya!  PERKASA bukan sekadar sebuah pertubuhan bukan kerajaan, PERKASA adalah kumpulan pelobi ketuanan Melayu dengan dipimpin oleh kumpulan nasionalis ultra-kanan Melayu.

Zukri Aksah, Merdeka Review

Baru-baru ini orang asal (orang asli) telah membuat kejutan dengan berdemonstrasi di Putrajaya, tujuan mereka adalah untuk menghantar memorandum berkaitan permasalahan pemilikan tanah mereka.  Dalam keramaian orang itu, dalam foto-foto yang disiarkan, saya mencari kelibat seseorang tetapi hampa kerana tiada berjumpa.

Kelibat manusia yang saya cari adalah Ibrahim Ali, maklumlah, katanya dia Presiden PERKASA, atau nama panjangnya Pribumi Perkasa Negara.  Walaupun seperti kata Zaid Ibrahim, orang asal tidak termasuk dalam kategori bumiputera atau pribumi mengikut Perlembagaan Persekutuan, tetapi hakikatnya mereka memang pribumi, mereka memang bumiputera.  Bukankah orang asal dan pribumi itu membawa maksud yang sama?

Jadi, bila orang asal berdemonstrasi bagi menuntut hak mereka, saya mengandaikan Ibrahim Ali selaku Presiden Pribumi Perkasa Negara akan turut hadir dengan membawa seluruh kekuatan armada PERKASA bagi menunjukkan sokongan.  Rupanya tidak, rupanya tidak ada, serupa juga, saya yakin Ibrahim Ali dan PERKASA tidak akan muncul jika yang berdemonstrasi itu dari kaum Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Dayak, Penan dan sebagainya.

Rupanya PERKASA bukan untuk pribumi, PERKASA hanya untuk Melayu.  Jangan salah tanggap, bukan Melayu seperti saya!  PERKASA bukan sekadar sebuah pertubuhan bukan kerajaan, PERKASA adalah kumpulan pelobi ketuanan Melayu dengan dipimpin oleh kumpulan nasionalis ultra-kanan Melayu.  Dari segi sifatnya, kewujudan PERKASA hampir menyamai kewujudan Ku Klux Klan di Amerika Syarikat, cuma PERKASA dalam beberapa kenyataannya sebelum ini kelihatan tegas tidak merestui sebarang aktiviti keganasan seperti Ku Klux Klan.

Ibrahim Ali, jangan saman dahulu, mari kita bersama cuba menyusuri sejarah dan mencari rasional kemungkinan persamaan ini.

Ku Klux Klan ialah kumpulan ultra kanan yang memperjuangkan ketuanan bangsa kulit putih – Protestan di Amerika Syarikat.  Kewujudannya dikesan seawal tahun 1865, diasaskan oleh veteran tentera konfederasi dari Tennesee.  Pengwujudannya dikatakan bertujuan bagi mengembalikan ketuanan bangsa kulit putih selepas tamatnya Perang Saudara Amerika.

PERKASA pula ditubuhkan selepas UMNO, parti politik terbesar orang Melayu yang memimpin Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2008 dikejutkan dengan kekalahan di lima negeri dan satu Wilayah Persekutuan serta kehilangan penguasaan dua pertiga di Parlimen.

Kalau Ku Klux Klan melihat ketuanan bangsa kulit putih – Protestan tergugat selepas Perang Saudara Amerika, PERKASA pula melihat kononnya Melayu tergugat pasca Pilihanraya Umum 2008.  Lebih dari itu, PERKASA secara terbuka di bahagian latar belakang penubuhan dalam laman web rasminya menganggap kompromi antara kaum sebelum merdeka adalah satu kompromi paksaan.  Secara spesifiknya saya boleh nyatakan yang kompromi ini adalah antara bapa-bapa pengasas negara kita iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman, Mendiang Tan Cheng Lock dan Mendiang V. Sambathan.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...