Perlembagaan Vs Pelaksanaan Menekan Bumiputera


Hak istimewa orang Melayu mendahului Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Ia wujud lama sebelum penjajah Eropah datang ke rantau ini.

A. Kadir Jasin

PADA 3 April lalu, Persatuan Wartawan Melayu Kelantan yang di pelopori oleh wartawan dan aktivis sosial, Dr Alias Mohamed, telah menjemput saya memberi ceramah mengenai Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu.

Tujuannya adalah untuk membahaskan kekangan antara apa yang termaktub dalam Perlembagaan dengan apa yang diamalkan.

Kata alu-aluan majlis oleh Dr Alias, mukadimah oleh Profesor Dr Hashim Yaacob, Naib Canselor, International University College of Nursing dan perasmian oleh Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Mohd Nasir Salleh.

Berikut adalah inti pati pembentangan saya itu yang saya ingin berkongsi dengan pelawat dan pembahas blog ini. Kalau ada apa-apa yang kurang, marilah sama-sama kita memperlengkapkannya.

Hak istimewa orang Melayu

1. Hak istimewa orang Melayu mendahului Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Ia wujud lama sebelum penjajah Eropah datang ke rantau ini.

Hatta pada zaman penjajahan pun, empayar Melayu seperti yang diwakili oleh Kesultanan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah dijajah dalam erti kata yang mutlak.

Hanya pelabuhan Melaka dan sekitarnya saja yang jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Kerajaan Melayu Melaka dan negeri-negeri Melayu terus wujud sebagai pemerintahan berdaulat.

Istilah penjajahan adalah diayah Barat. Tetapi ia berkesan ke atas minda orang Melayu. Sampai hari ini pun, ramai orang Melayu, akibat tidak celik sejarah dan kompleks rendah diri, percaya Tanah Melayu dijajah.

2. Melayu adalah bangsa bertolak ansur dan mudah dipengaruhi. Pada tahun 1946, Melayu bangun menentang Malayan Union (Kesatuan Malaya) dan menolak kerakyatan kaum-kaum pendatang.

Sepuluh tahun kemudian, atas pujukan dan desakan Inggeris, orang Melayu bersetuju dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, malah bersedia menerima lebih setuju kaum pendatang sebagai warganegara Malaya merdeka.

3. Suruhanjaya Reed memperakukan kerakyatan orang Cina dan India, tetapi mengiktiraf hak dan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai ciri yang mendahului Perlembagaan. Perlembagaan sekadar memaktubkan keistimewaan itu.

4. Gabungan pemaktuban hak istimewa orang Melayu dan pemberian kewarganegaraan kepada kaum-kaum pendatang adalah Kontrak Sosial antara orang Melayu dengan kaum-kaum pendatang. Pakar undang-undang Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim menyifatkan Perlembagaan sebagai Perjanjian Damai.

5. Perkara 153 Perlembagaan amat jelas dan terperinci mengenai apakah yang dimaksudkan dengan hak istimewa orang Melayu dan Anak Negeri Sarawak dan Sabah.

Antaranya, Perkara 153 membuat peruntukan berikut:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.”

6. Malangnya, keistimewaan orang Melayu dan peruntukan-peruntukan fundamental Perlembagaan, termasuk Perkara 153 dan peruntukan mengenai bahasa, pendidikan dan ekonomi dicabar dan dipertikai sejak awal lagi oleh parti-parti radikal bukan Melayu.

7. Cabaran ini sangat lantang dan terbuka ketika kempen pilihan raya umum 1969 – kempen terpanjang dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

8. Peristiwa berdarah 13 Mei memberikan kesedaran, sebab dan alasan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menutup jurang antara peruntukan Perlembagaan dengan pelaksanaan (amalan), menggunakan pendekatan ekonomi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...