Kerajaan Bayar APCO RM76.8 juta


Oleh Fazy Sahir, Free Malaysia Today

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz akhirnya mengakui kerajaan membayar sebanyak RM76.8 juta kepada Apco Worldwide Sdn Bhd melalui anak syarikat Mind Teams.

Sebelum ini dilaporkan nilai kontrak kerajaan dan APCO tersebut bernilai RM28 juta, namun sebaliknya Nazri berkata jumlah yang dibayar kepada APCO bernilai AS$24 juta.

Melalui jawapan bertulisnya kepada Tian Chua (PKR-Batu) di Parlimen semalam, jumlah didedahkan Nazri adalah dua kali ganda daripada yang dilaporkan sebelum ini.

Kata Tian Chua, “tukarkan jumlah itu dalam ringgit dan anda akan mendapat hampir RM77 juta. Bayaran tersebut ialah untuk tempuh setahun.”

“Saya tidak tahu sama ada dia tersilap atau membuat perkiraan yang salah berhubung kadar tukaran asing ringgit kepada dolar.

Mungkin dia berfikir bahawa ringgit Malaysia masih kukuh dan nilainya hampir sama dengan dolar,” katanya dengan nada sinis.

Tian Chua melahirkan rasa tidak percaya bahawa jumlah wang sebegitu banyak dibayar kepada firma asing yang mempunyai kaitan dengan Israel sedangkan syarikat tempatan juga mampu melakukan tugas yang sama.

“Menteri tidak memberitahu kebenaran walaupun berkali-kali bertanya sekarang kita dapat jawapan bahawa ia perbelanjaan yang sangat besar, bagaimana kita menilainya?

“Adakah perkhidmatan APCO begitu istimewa sehingga memerlukan bayaran sebegitu tinggi kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Israel? Kenapa tiada syarikat tempatan diambil.Saya pasti firma tempatan mampu melakukan kerja itu,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai syarikat tempatan yang tidak diberi peluan melakukan kerja itu, Nazri menegaskan bahawa APCO telah ditugaskan membaik pulih hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat.

“APCO ditugaskan bagi mendekatkan Malaysia dengan Amerika Syarikat. Adakah syarikat Malaysia boleh membantu untuk merapatkan hubungan dengan Amerika?” soal Nazri.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...