RM76 juta dibayar kepada APCO, antaranya menemukan Najib-Obama


Wong Shu Qi, Merdeka Review

Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz mengakui bahawa kos perkhidmatan yang dibayar kepada APCO Worldwide berjumlah RM76.82 juta setahun, malah memuji sumbangan APCO dalam usaha memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Sambil menuding jari kepada dua orang bekas Perdana Menteri yang “menjejaskan hubungan antara Kuala Lumpur-Washington”, Nazri mendakwa bahawa hubungan dua hala yang terjejas dalam tempoh 28 tahun ini hanya boleh diperbaiki dengan membelanjakan wang.

Nazri Aziz tidak menafikan bahawa kerajaan Malaysia menggunakan perkhidmatan APCO Worldwide untuk memperbaiki hubungan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat, “APCO Worldwide bertanggungjawab untuk membina imej negara kita di Amerika Syarikat, agar hubungan kita dengan Amerika Syarikat lebih erat.  Apakah anda menganggap syarikat tempatan Malaysia boleh mengeratkan hubungan antara kita dengan Amerika Syarikat?”

Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dianggap “kurang erat” semasa zaman pemerintahan PM keempat dan kelima, iaitu Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi, jadi Nazri (gambar kiri) tidak melihat wujudnya masalah untuk memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat atas nama diplomatik dan ekonomi.

“Sekiranya kita tidak berbaik dengan Amerika Syarikat, Amerika Syarikat langsung tidak akan mempedulikan kita.  Kita perlu memperbaiki hubungan yang terjejas semasa zaman pemerintahan 22 tahun oleh Mahathir Mohamad dan enam tahun oleh Abdullah Ahmad Badawi.  Anda ingat kita boleh meredakannya tanpa berbelanja?” tanya Nazri ketika ditemuramah media di parlimen, semalam.

Malah, Nazri menambah bahawa kerja melobi adalah sesuatu yang lumrah di Amerika Syarikat.  “Anda perlu lobi (barulah kerja diselesaikan dengan baik), dan pelobi terbesar di Amerika Syarikat ialah pelobi Israel.”

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...