Pilih Zaid kerana dia seorang yang berprinsip – Wan Azizah


(Harakahdaily) – Dasar dan perjuangan parti adalah lebih perlu diberi keutamaan dalam memilih parti atau kerajaan yang akan memerintah, bukannya masalah individu.

Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat(PKR) Datin Seri Dr.Wan Azizah dalam isu peribadi yang digunakan oleh Barisan Nasional(BN) dalam kempen mereka di Hulu Selangor memperlihatkan bagaimana mereka ketandusan modal dalam melaksanakan misi mereka untuk meraih sokongan daripada pengundi kawasan tersebut.

“Mereka tidak sedar dalam isu arak yang mereka mainkan, siapakah yang mempunyai saham di kilang arak. Apakah orang PKR atau Umno. Mereka tidak nampak najis yang ada pada mereka sebaliknya menuding jari kepada pihak lain. Inilah sikap Umno dan BN yang tidak harus diberi sokongan bukan saja dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor tetapi juga untuk terus memerintah negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media (gambar) yang diadakan selepas merasmikan Pusat Aduan Wanita PKR Kulim-Bandar Baharu di Taman Tunku Putra, Kulim, Kedah.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan dan Exco Kerajaan Negeri Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Lim Soo Nee.

Bagi beliau, Umno dan BN adalah parti yang tidak melihat kepada kesalahan dan keaiban yang ada pada mereka.

Ini membuktikan bahawa mereka adalah sebuah parti yang mudah lupa akan segala kesilapan silam dan sentiasa menuduh orang lain bersalah sedangkan najis yang ada di hadapan mata mereka sendiri tidak mereka nampak, katanya.

“Datuk Zaid Ibrahim adalah seorang yang mempunyai prinsip perjuangan. Beliau sanggup untuk melepaskan jawatan dalam kabinet kerajaan semasa pimpinan Tun Abdullah kerana tidak bersetuju dengan dasar dan akta kezaliman seperti ISA yang dilaksanakan oleh kerajaan,”katanya.

Wan Azizah juga menggesa masyarakat di Hulu Selangor supaya menolak BN dari meneruskan agenda perjuangan mereka yang tidak adil dan penuh dengan rasuah serta korupsi selama memerintah negara lebih daripada 50 tahun.

Katanya, rakyat sepatutnya melihat Umno dan BN telah melakukan banyak kezaliman dan penyelewengan semasa memerintah negara dalam tempoh yang begitu lama.

Oleh kerana itu rasuah, penyelewengan, skandal dan penyalahgunaan kuasa yang mereka amalkan akan terus menjadi sebahagian dari sistem pemerintahan mereka sekiranya rakyat tidak menolak mereka.

Oleh kerana itu mereka harus ditolak dari terus melakukan kezaliman dengan tidak memberi sokongan kepada mereka samada dalam pilihan raya kecil maupun dalam pilihan raya umum yang akan diadakan,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...