Alhamdulillah, UMNO sudah daulatkan Raja-Raja Melayu – Bhg 2


Aspan Alias

Apabila Malayan Union ditolak oleh orang Melayu dahulu kesemua Raja-Raja Melayu telah kembali mendapatkan negeri masing-masing dan memerintah dengan penuh kuasa seperti yang dahulu.

Setiap negeri-negeri tersebut merupakan negeri-negeri berdaulat dan Raja-Raja memerintah negeri-negeri masing-masing berhak mengutip cukai dan berbelanja membangunkan negeri serta jajahan masing-masing.

Jika Malayan Union itu tidak berjaya ditolak maka tidak wujud lagi negeri-negeri yang berdaulat dan akan hanya tinggal sebuah negara ‘Unitary”; tidak ada Selangor, tidak ada Negeri Sembilan, tidak ada Johor dan tidak ada negeri-negeri yang lain.

Kita harus faham kenyataan ini dahulu, sebelum kita boleh memahami kenapa pentingnya Raja-Raja Melayu kepada kita orang Melayu dan bangsa-bangsa lain yang telah menjadi rakyat Malaysia.

UMNO dan Mahathir tidak senang dengan kuasa yang ada pada Majlis Raja-Raja Melayu yang semasa itu mempunyai hak untuk menolak dan melucutkan jawatan PM.

Keadaan beliau yang tidak menentu menyebabkan beliau mencari jalan dan helah untuk mengurangkan kuasa Majlis Raja-Raja dan seterusnya melucutkan immunity dan kekebalan Raja-Raja Melayu.

Kesempatan untuk bertindak untuk melakukan apa yang hendak dilakukannya sampai akhirnya apabila salah seorang dari anakanda Kebawah Duli Sultan Johor memukul jurulatih hockey yang saya lupa namanya.

Dari saat itu UMNO mendapat alasan untuk bertindak dan dari saat itu jugalah UMNO telah ‘melanyak’ kesemua Raja_Raja Melayu dan menggunakan media masa seperti Utusan Malaysia dan kumpulan The New Straits Times sebagai lidah UMNO mengutuk dan mempersendakan Raja-Raja Melayu.

Usaha yang dilakukan oleh akhbar-akhbar ini dilunaskan juga oleh semua stesyen Telivisyen termasuk TV3.

Oleh kerana nyamuk seekor dua maka seluruh kelambu dibakar dan institusi Raja-Raja diceroboh seperti menceroboh tempat persembunyian kominis didalam hutan.

Raja tetap raja. Raja-Raja Melayu tidak menjawab kerana baginda semua adalah Raja; masakan hendak berlagak seperti perlakuan ‘robust’ UMNO dan segala perlakuan ini dituntun oleh bukan sahaja oleh kita tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Kalaulah pindaan itu secara jujur untuk mendisiplinkan Raja-Raja, perlukah media massa dengan sewenang-wenangnya mebuat tuduhan fitnah kepada DYMM Yang diPertuan Besar NS dengan menyiarkan berita yang almarhum Baginda telah memberikan tanah baginda kepada taukeh Cina untuk memilihara babi?

Kenapa Dr Mahathir tidak dapat mengawal tindakkan tidak bersopan pemimpin UMNO dan media perdana?

Apa perlunya beberapa ahli Parlimen membuat kenyataan yang Raja-Raja Melayu patut diikat dan disebat dikhalayak ramai?

Apakah itu niat sebenar orang yang memimpin UMNO semasa itu? Sedangkan pegawai tinggi British yang hendak merampas kuasa Raja Melalui Malayan Union dulu pun tidak menekan Raja-Raja Melayu sebegitu rupa kenapa pula orang Melayu sendiri yang menekan Raja mereka dengan begitu hina sekali?

Dimana letaknya temaddun kita orang UMNO? Tidakkkah pemimpin semasa itu sedar apa yang mereka lakukan itu adalah penghinaan kepada bangsa kita sendiri?

Apakah ruginya pucuk pimpinan politik dan negara jika berunding secara jujur dan berakhlak dengan Raja-Raja Melayu dan apakah hanya pemimpin Melayu yang gehara sahaja yang wajib untuk melunaskan akhlak dan budi orang Melayu?

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...