Sibu – Politik Baru Terus Di Perkasa


Kini rakyat tahu bahawa masalah utama mereka tidak kian selesai sebab pemimpin tidak peduli dan tidak bersungguh untuk menyelesaikan masalah mereka. Kalau di Sibu jelasnya ialah masalah banjir, tanah, kemiskinan dan pekerjaan untuk golongan remaja.

Dr Dzulkefly Ahmad

Ini adalah komentar ringkas saya tentang keputusan PRK Sibu.

Bagi saya samada pimpinan Umno/BN terima atau tidak kekalahan ini adalah tidak penting. Samada mereka mahu menunaikan pelbagai janji yang telah pun mereka tabur kepada pengundi di Sibu adalah urusan mereka.

Bagi saya yang penting adalah hakikat ‘Politik Baru’ kian terserlah. Saya tidak hanya mengatakan ini setelah kemenangan YB Wong Ho Leng yang mewakili DAP/Pakatan di Sibu. Saya tetap menyebutkan fenomena ini setelah kekalahan tipis Pakatan di Hulu Selangor. Ia tidak bersabit samada Pakatan memang atau kalah.

Antara ciri utama Politik Baru ialah rakyat dan pengundi tidak lagi mampu digula-gulakan oleh pihak yang berkuasa. Pengundi bertindak dengan maklmat. Media baru memerdekakan mereka. Pemberian saat saat akhir meskipun berjumlah jutaan ringgit tidak akan dinilai oleh rakyat/pengundi. Mungkin mereka mengambil segala pemberian tetapi mereka tidak jamin akan memberi undi kepada si pemberi kalau pun mereka itu Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Ini jelas telah disaksikan di Hulu Selangor meskipun tidak merata kepada semua kaum etnik. Kaum Cina lebih tegas dari orang Melayu atau India disegi ini. Kelompok pengundi bandar atau pinggir bandar atau lebih tepat lagi yang memilikki maklumat dan informasi, lebih tegas pendirian mereka tentang hal ini.

Mereka menolak cubaan ’merasuah’ mereka di saat-saat akhir. Mendapat 48% undi bukan satu perkara mudah apatah lagi berdepan dengan sogokan lebih RM 100 juta. RM 3 juta SRJK (C) di Rasa Hulu Selangor dan RM 5jta di Rejang Park di Sibu akan terpahat sebagai tanda aras kekebalan pengundi dalam Politik Baru.

PRK Sibu sekali lagi menunjukkan fenomena kesedaran yang sama. Peningkatan undi kepada calon Pakatan bukan sahaja disaksikan di kalangan pengundi Cina, bahkan di kalangan Melayu-Melanau, walaupun sedikit. Saya berkempen 4 hari di Sibu merentasi semua kaum etnik dan mendapati yang di rumah panjang sekalipun sudah faham siapa yang berkhidmat dan siapa yang hanya beri benda dan wang ringgit pada waktu berkempen sahaja. Umno/BN gagal membawa kembali rakyat/pengundi di negara ini kepada garis dan amalan Politik Lama tajaan mereka.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...