Nik Aziz sifatkan UMNO: Tangan kanan hulur salam, tangan kiri lipat senjata
(Merdeka Review) – “Ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata,” demikianlah yang disifatkan oleh Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat ketika mengungkit pengalaman kerjasama antara PAS dengan UMNO-BN.
“Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan,” kata Nik Aziz.
PAS sebagai parti politik pernah menawan Kelantan dan Terengganu dalam PRU pada tahun 1959, kemudian menyambut huluran tangan Allahyarham Abdul Razak, Perdana Menteri pada tahun 1973 untuk menyertai BN. Bagaimanapun, kerjasama yang bermatlamatkan perpaduan ini berakhir dengan perpechan dalam PAS, dengan munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa, kata Nik Aziz.
Nik Aziz berkata sedemikian dalam ucapan perasmian serentak Muktamar Tahunan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Pusat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa, semalam.
Alternatif kepada BN dalam PRU 13
Nik Aziz kemudian mengulas bagaimana PAS menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Nasional (Parti Keadilan Rakyat kemudiannya) untuk membentuk Barisan Alternatif pada PRU tahun 1999, dan mencapai muafakat “satu lawan satu” dalam PRU tahun 2008, yang berakhir dengan kemenangan kepada pembangkang.
“Strategi sebegini amat penting kerana nilai perjuangan suci kita adalah tidak boleh lagi bersekongkol dengan pihak yang menyuburkan maksiat, lantaran kita telah melihat sendiri kesan politik dan pentadbiran kerajaan BN yang menimbulkan pelbagai kekalutan kepada rakyat dan negara. Berlaku semakin serius gejala maksiat, buang bayi, pembunuhan, rompakan, rasuah, kemelesetan dan sebagainya,” ulasnya.
“Atas alasan inilah, kita mahu menjadi alternatif kepada BN bagi menghadapi pilihanraya umum nanti. Pilihanraya tidak berlaku empat atau lima tahun sekali. Bagi orang yang beragama, pilihanraya berlaku setiap saat antara nafsu ammarah, lawwamah dan mutmainnah,” tambahnya.
Eratkan hubungan dengan DAP-PKR
“Kita mahu eratkan hubungan dengan DAP dan PKR dan kita mahu rakyat memberikan mandat kepada kita. Justeru itu, kita hendaklah berani menawarkan alternatif ini dan sedia berikrar kepada semua rakyat termasuk Cina, India, Siam dan seumpamanya bahawa kita akan membuang semua unsur-unsur kerosakan yang ada di dalam kerajaan UMNO pada hari ini dan menggantikannya dengan amalan pentadbiran bersifat good governence iaitu berintergeriti, adil, bermoral, cekap, telus dan bertanggungjawab.”
Nik Aziz cukup optimis dengan masa depan PR, “Perjalanan kita masih panjang, noktah perjuangan kita masih jauh. Namun, tanda-tanda kemenangan sudah kelihatan. Walaupun guruh di langit bukan menandakan hujan akan turun, namun sekurang-kurangnya harapan ada untuk menyaksikan kemarau akan berakhir.”
“Lantaran itu, ingin saya ingatkan sekali lagi bahawa masa depan ialah bersama Pakatan Rakyat di dalam membina Malaysia yang baru. Memahami realiti semua, maka PAS mestilah bersedia menunjukkan kehebatan dan kehebatan PAS itu adalah sentiasa berpegang kepada prinsip tidak mengasingkan agama dan politik, mempertahankan al-Quran dan Sunnah Nabi serta sentiasa berusaha ke arah penyatuan umat. Dr Yusuf al-Qaradawi selalu menggunakan istilah asolah al-Islam wa hadathah al-siyasah.”