Kg Baru – Antara Fantasi dan Realiti
By Delimma
Saya terpanggil untuk memberi komen terhadap isu pembangunan Kg Baru yang kini sudah menjadi satu isu nasional yang seumpama membelenggu imaginasi rakyat. Daripada apa yang telah dilafazkan YB Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Raja Nong Chik, Ketua Setiausahanya Datuk Ahmad Phesal dan ramai pihak, termasuklah pandangan dan komen daripada bekas Menterinya; saya lihat ada beberapa persoalan yang jika tidak dirungkai pasti akan membingungkan lagi rakyat; apatah lagi warga Kg Baru yang kini di dalam dilema membangunkan tanah keturunan dan milik mereka.
Bagi saya yang langsung tidak tahu sejarah Kg Baru ini soalan pertama yang perlu dijawab pihak-pihak yang memberikan pandangan ini sebenarnya adakah pembangunan Kg Baru itu perlu sama sekali? Adakah ini merupakan hajat pemilik tanah Kg Baru sendiri atau adakah ini hasrat kerajaan? Kenapa Kg Baru perlu dibangunkan, sedangkan pada pandangan saya ianya adalah sebuah penempatan unik yang memiliki ciri-ciri Melayu kampung di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur? Bukankah keunikan ini wajar dipelihara dan dijadikan satu legasi “heritage” atau warisan khazanah buat generasi akan datang? Kalau nak dibangunkan sekalipun, saya berpandangan adalah lebih baik sekiranya kawasan ini dibangunkan sebagai sebuah kampung tradisi Melayu dan bukannya sebagai sebuah kawasan komersial. Kita ada banyak perkampungan kaum lain yang telah dijadikan kawasan warisan, kenapa tidak Kg Baru? Keunikannya yang berupaya mengekalkan identiti asal walaupun sudah hamper 53 tahun merdeka wajar dipelihara, malah diperkasakan dengan pembinaan semula rumah-rumah bercirikan kampung tradisi Melayu. Ianya bukan sahaja akan meningkatkan kualiti hidup warga Kg Baru, ianya juga berupaya menjadi tapak kegemilangan identiti Melayu bandar yang akan menarik pelancong, meningkatkan harga tanah dan seterusnya mengekalkan hak Melayu ke atas tanah tersebut.
Jika pemilik tanah Kg Baru memang berhasrat untuk membangunkan tanah mereka, persoalan yang ditimbulkan Zulhasnan wajar dijawab terlebih dahulu – penyelesaian status tanah Kg Baru itu sendiri. Mengapa perkara ini langsung tidak diberikan perhatian khusus oleh kerajaan; sedangkan kalau nak dibangunkan, status tanah ini kenalah ditukar terlebih dahulu. Adakah pemilik tanah faham akan sekatan kepentingan tanah yang tidak boleh dipindah milik dan hanya boleh diduduki orang Melayu ini? Apakah implikasi pembangunan nanti sekiranya tanah ini diserahkan kepada kerajaan? Kalau benar kata Zulhasnan, maka hanya kerajaan yang mampu membangunkan Kg Baru kerana kerajaan sajalah yang boleh menukar status tanah tersebut. Adakah ini dapat diterima pemilik tanah – kerana mereka terpaksa menyerahkan tanah tersebut 100% kepada budi bicara kerajaan. Kalau kerajaan ambil tanah tersebut apa akan jadi kepada pemilik tanah dan penduduk Kg Baru nanti? Kalau tak pindahmilik seperti kata Raja Nong Chik bagaimana pula nak bangunkan Kg Baru? OIanya akan menjadi satu proses caca-merba dan kekeliruan ini boleh samada menghalang pembangunan atau melesapkan terus hakmilik Melayu di Kg Baru.
Persoalan tentang tawaran 60%-40% yang kini sudah diubahsuai Raja Nong Chik menimbulkan lebih banyak soalan dari jawapan. Kenapa kerajaan nak tawarkan 40% kepada bukan Bumiputera, biarpun untuk lot-lot komersial seperti hotel dan hospital? Apakah Raja Nong Chik tidak percaya kepada keupayaan orang Melayu sendiri untuk membangunkan tanah Kg Baru. Saya tertarik dengan cadangan untuk mempelawa kerajaan, PNB dan Tabung Haji untuk membangunkan Kg Baru. Apakah syarikat GLC Melayu ini tidak ada dana atau kepakaran untuk membangunkan Kg Baru sehingga kerajaan terpaksa menawarkan 40% kepada bukan Bumiputera?
Tiada soalan perlu timbul untuk tidak melibatkan kaum lain dalam pembangunan Kg Baru. Tanah ini 100% milik Melayu, jadi terpulanglah kalau pemilik tanah Kg Baru ingin pembangunan ini dijana orang Melayu juga. Apakah kaum lain ada menawarkan peratusan untuk orang Melayu ketika memnbangunkan TANAH MILIK MEREKA? Apakah ada isu lain yang sebenarnya menyebabkan Menteri membuat pengumuman tersebut? Ianya perlu dijelaskan kepada pemilik tanah dan rakyat.
Saya hairan mengapa kementerian ingin melaksanakan bancian atau undian untuk membangunkan Kg Baru. Bukankah perkara ini seharusnya sudah diputuskan terlebih dahulu sebelum perancangan dilaksanakan? Nak buat undian ini pula nak melibatkan siapa; pemilik tanah sahaja atau seluruh warga Kg Baru? Siapa yang layak mengundi, jumlah mereka mengikut saiz tanah dan peratusan undi mereka – saya lihat akan timbul lebih banyak kekeliruan daripada penyelesaian kalau cara ini diikuti.
Bagaimana nak mengundi pun kalau semua nama pemilik tidak dapat disenaraikan atau ada yang tiak dapat mengundi? Isu ini bukan seperti pilihanraya yang boleh menggunakan peratusan keputusan semata-mata – ianya melibatkan masa depan, maruah, kepentingan dan harta milik setiap penama di dalam geran tanah Kg Baru. Macamana kementerian nak jalankan pengundian ini pun akan menimbulkan perlan dan kerumitan yang akhirnya membawa musibah kepada usaha kerajaan membangunkan Kg Baru.
Siapa yang menasihatkan Menteri tentang perkara-perkara ini? Saya lihat KSU yang muncul dalam TV itupun seperti kehilangan punca dan tidak tahu hakikat sebenar pembangunan Kg Baru. Pemilik dan rakyat berhak tahu agenda sebenar pembangunan Kg Baru agar keputusan yangn dibuat adalah berdasarkan fakta sebenar dan tiada prasangka terhadap niat murni kerajaan untuk membangunkan Kg Baru.
Kalau semua ini dapat diatasi sekalipun, Menteri, KSU, kakitangan kementerian dan pemilik tanah Kg Baru perlu sedar sebarang pembangunan perlulah mengikut pelan pembangunan yang telah dipersetujui dan digazetkan. Saya belum lagi melihat pewartaan pelan tersebut, jadi mengapa terburu-buru untuk membuat keputusan? Saya berpendapat lebih baik sekiranya semua pihak bertenang dan menunggu dulu pelan tersebut diwartakan untuk pemilik sendiri melihat perancangan Kg Baru dan nilai sebenar tanah yang mereka miliki. Keputusan yang dibuat terburu-buru hanya seperti “keris makan tuan” sekiranya silap perkiraan.
Dari perspektif orang luar yang tiada kepentingan di Kg Baru, saya lihat isu ini boleh menjadi satu topik berpanjangan yang akan menghantui bukan sahaja pemilik, rakyat dan kementerian, tetapi juga ketelusan dan aspirasi pentadbiran YAB Perdana Menteri. Bukankah lebih baik kalau tubuhkan Perbadanan pembangunan untuk Kg Baru yang dianggotai pihak terlibat dan juga pemaju dari kalangan GLC Melayu; dan biar mereka ini yang menilai pembangunan yang perlu berdasarkan pelan pembangunan dan juga aspirasi pemilik tanah Kg Baru. Dengan cara ini semua persoalan akan terjawab secara telus, beramanah dan demi kepentingan orang Melayu bandar di Kuala Lumpur. Untuk membiarkan isu ini begitu sahaja mungkin akan menyebabkan kesan perancangan yang tidak menentu berlaku di Kg Baru sepertimana ianya telahpun berlaku kepada Taman Tun Dr Ismail pada ketika ini.
Pembangunan Kg Baru perlulah diuruskan dengan berhemah, bertanggungjawab dan beramanah, barulah tidak akan ada perbezaan antara fantasi dan realiti pembangunan dari kaca mata pemilik, rakyat mahupun kerajaan.