Pakatan mampu gegar Putrajaya
(Harakahdaily) – PAS dan Pakatan Rakyat diyakini mampu melangkah ke Putrajaya sekiranya gerakan daftar pemilih dapat diperkemaskan dengan kewujudan unit pendaftaran pengundi (UPP) secara lebih sistematik.
Peluang itu boleh menjadi realiti memandangkan sekarang terdapat lebih 4 juta pengundi muda yang belum mendaftar.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Pakatan akan melaksanakan daftar dua peringkat ikut kaedah UPP bagi membolehkan matlamat untuk sampai ke PUtrajaya pada pilihan raya akan datang jadi kenyataan.
“Dan kalau target itu tak dapat, maka susah hendak kata bagi mencapai impian semua pihak untuk sampai ke Putrajaya pada pilihan umum depan,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden di Putik hari ini.
Beliau juga mahu sekurang-kurangnya satu cawangan ada satu peti undi yang dikendalikan satu jawatankuasa bagi mengurusnya.
Katanya, gerak kerja mendaftar pengundi baru mesti digerakkan mulai sekarang di setiap peti undi.
Menurutnya sasaran gerak kerja itu di semua negeri sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Perlu diingatkan PAS kawasan perlu laksanakan perkara ini kerana ada 70 peratus pengundi tidak mahu menyokong BN dan akan menyokong Pakatan rakyat.
“Kita tidak boleh harap pengundi tradisi. Oleh itu gerak kerja yang telah digunakan di Kelantan disaran dipraktikan di negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau juga berkata, sekiranya dana sebanyak RM29 juta berjaya dikumpulkan menjelang pilihan raya umum akan datang sudah cukup untuk menumbangkan kerajaan BN.