Perbicaraan kes ‘Bini Puaka’ bersambung Julai depan


Oleh Fazy Sahir, Free Malaysia Today

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan Julai depan bagi sambungan perbicaraan lima pelajar Universiti Malaya (UM) berhubung kes menconteng “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya” yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Rozana Ali Yusof membuat keputusan tersebut setelah selesai mendengar keterangan saksi oleh pihak pendakwaan.

Beliau menetapkan tarikh berasingan bermula 1,2,9 dan 28 hingga 30 Julai ini.

Perbicaraan yang masuk hari kedua ini bagi mendengar keterangan saksi kelapan dan kesembilan iaitu DSP Shaikh Zainal Abidin Omar dan Detektif L Thuraisingam.

Pihak pendakwaan sebelum ini telah mengemukakan 17 orang saksi kepada mahkamah berhubung kes tersebut.

Tertuduh terdiri daripada Mohamad Izzuddin Hilmi, Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Malah kelima-lima tertuduh turut hadir sambil ditemani ahli keluarga dan rakan masing-masing.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...