Skandal PKFZ: Orang terlibat masih bebas, dedah Ong Tee Keat


Neo Chee Hua, Merdeka Review

Pasukan Khas yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan untuk menyiasat skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) mendapati bahawa wujudnya kes penipuan (fraud case) yang menelan RM 1.64 bilion dalam skandal PKFZ, dan orang yang terbabit masih bebas sehingga kini, tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Demikianlah pendedahan bekas Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat (gambar kanan) yang disingkirkan semasa kabinet dirombak pada 1 Jun 2010.  Malah, Ong Tee Keat selanjutnya membongkarkan bahawa kontraktor utama PKFZ, Syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikuasai ahli parlimen Bintulu-BN, Tiong King Sing telah menuntut RM1.64 bilion daripada kerajaan sebelum projek ini dimulakan.

Sebanyak tujuh laporan disediakan oleh pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan Kementerian Pengangkutan, dan kesemuanya masih belum didedahkan sehingga kini.  Bagaimanapun, tiada kesimpulan dan tindakan susulan, termasuk mendakwa pihak yang terlibat dan menipu, setelah Pasukan Petugas Khas (Super Task Force) yang ditubuhkan kabinet mengambil alih tugas siasatan PKFZ ini.  Malah, tiada perbincangan dalam kabinet berhubung laporan Pasukan Petugas Khas, menurut bekas Menteri Pengangkutan ini.

Seandainya dakwaan laporan pasukan khas oleh Kementerian Pengangkutan tersebut adalah benar, maka kerajaan harus mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menuntut wang tersebut daripada pihak berkenaan, malah menghalang wang itu daripada mengalir ke dalam akaun kontraktor tersebut secara beransur-ansur, tegas Ong Tee Keat.

“Kesemua ini wang titik peluh rakyat,” tekan bekas Presiden MCA ini dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 15 Jun 2010 di pejabatnya di Padan Jaya.  Ini adalah kali pertama pegawai kerajaan terbabit tampil mengesahkan kandungan dalam tujuh laporan yang disediakan pasukan khas dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.

Sebelum ini, The Straits Times yang mendakwa dirinya telah meneliti kandungan terperinci laporan tersebut mendedahkan bahawa beberapa orang pegawai kerajaan disenaraikan sebagai “possible conspirator“, antaranya bekas Menteri Pengangkutan Chan Kong Choy, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tiong King Sing (yang menguasai KDSB), bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang, dan sesetengah pengarah dalam LPK.  Namun demikian, antara nama yang tersenarai, hanya OC Phang (gambar kiri, wanita di kanan) yang didakwa ke mahkamah setakat ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) KDSB, Steven Abok; Pengurus projek, Law Jenn Dong dan Bernard Tan Seng Swee dari syarikat perunding BTA Architect turut didakwa atas tuduhan menipu, dengan angka yang terlibat RM122.267 juta dan RM5.41700 juta.

Namun, Ong Tee Keat mengesahkan bahawa beberapa orang disebut namanya dalam laporan pasukan khas oleh Kementerian Pengangkutan, dan “orang yang terbabit” semestinya lebih daripada empat orang yang didakwa di atas.

Selok belok siasatan PKFZ

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Ong Tee Keat mengimbas selok belok penyiasatan skandal ini ketika beliau menerajui Kementerian Pengangkutan.  Ong Tee Keat melantik badan bebas, PricewaterhouseCoopers (PWC) untuk menyiasat skandal PKFZ pada Oktober 2008, yang mana laporan auditnya diumumkan pada 28 Mei 2009.

Seterusnya, Ong Tee Keat (gambar kanan) menubuhkan sebuah pasukan khas dan dua jawatankuasa yang baru pada 10 Jun 2009.  Pasukan khas ditugaskan untuk melanjutkan siasatan terhadap 20 penyelewengan yang disenaraikan dalam laporan audit PWC, satu jawatankuasa pula menumpukan siasatan terhadap keputusan yang dilakukan LPK dan penyelewengan yang tertunggak selama ini.  Satu lagi jawatankuasa ditugaskan untuk menyediakan rancangan bagaimana PKFZ boleh dibangunkan semula.

“Saya memberi tempoh dua bulan kepada mereka untuk menyiapkan tugas ini.  Selain satu jawatankuasa, dua daripadanya berjaya menyediakan laporan lengkap pada 10 Ogos, seperti yang ditetapkan.  Pasukan khas dan jawatankuasa yang dianggotai elit daripada pelbagai bidang ini telah menyediakan tujuh laporan, dan saya cuma memberi satu kenyataan bertulis pada ketika itu.”

Ong Tee Keat menjelaskan, beliau tidak mendedahkan laporan ini kerana hasil siasatan ini bakal menjadi bukti penting untuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).  Setelah mendapat nasihat daripada peguam, Ong Tee Keat memilih untuk tidak mendedahkan laporan ini pada ketika itu, atas pertimbangan unit berkenaan belum membuka fail siasatan, dan beliau tidak mahu dirinya disaman.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...