RMK-10 dihantui zaman kemarau dan beban hutang Kerajaan Umno-Barisan Nasional


Dr Dzulkefli Ahmad

Tidak ramai yang memahami apakah hakikat sebenar di sebalik pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), yang dibentangkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di Parlimen 10 Jun lepas.

Apakah kelembapan dan ketirisan politik tidak meracuni perancangan ekonomi? Sudah tentu wujud. Itulah penegasan yang diperolehi daripada Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad.

Ikuti wawancara wakil Harakah, MOHD RASHIDI HASSAN bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor itu di Bangunan Parlimen, 17 Jun lepas.

HARAKAH : Secara umumnya, apa pandangan saudara mengenai RMK-10 dan perancangan-perancangan kerajaan seperti yang diumumkan PM, dari segi memacu ke arah mencapai wawasan negara maju pada 2020?

DR DZULKEFLY : Saya bersedia menerima bahawa RMK-10 adalah perancangan yang menyusuli dua perancangan dalam Rancangan Jangka Panjang-3 (RJJP-3) atau OPP-3 yang merangkumi RMK-8 (2001-2005) dan RMK-9 (2006-2010). Maka RMK-10 (2011-2015) dan RMK-11(2016-2020) sepatutnya akan membawa kita ke tahun 2020.

Cuma satu hal Kabinet PM Najib tidak langsung bercakap tentang RJJP-4. Mungkin kerana terlalu banyak sangat perancangan, mereka tahu rakyat pun naik pening, jadi gugurkan sahaja RJJP-4 ini. Ini satu hal pelik.

Itu tidak termasuk yang harus saya sebut, mengenai Dasar Wawasan Negara (DWN) yang sepatutnya menggantikan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). DPN telah menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sekarang Najib ada Model Ekonomi Baru (MEB) dan Pelan Transformasi Kerajaan (PTK).

Semua dasar-dasar ini amat menyerabutkan. Rakyat di kampung-kampung tidak memahaminya, malah di bandar pun pening juga.

Saya tahu bahawa MP-MP (Ahli-ahli Parlimen) BN pun tidak faham. Tetapi itulah BN dan Najib menuruti sahaja tradisi ini.

HARAKAH : Berapa jumlah peruntukan RMK-10 berbanding dengan sebelumnya? Apakah mencukupi untuk memacu pertumbuhan yang dikehendaki?

DR DZULKEFLY : Pada RMK-7, diperuntukan RM67.5 bilion tetapi ditambah 53 peratus menjadikan akhirnya RM103 bilion.

RMK-8 mendapat RM110 bilion dan ditambah 55 peratus menjadikan RM170 bilion pada kesudahannya. RMK-9 bermula dengan RM220 bilion, tetapi mendapat suntikan fiskal semasa kemelesetan sebanyak RM67 bilion maka menjadikan ianya RM 287bilion.  RM67 bilion itu pun sebenarnya hanya RM20 bilion yang dapat disuntik yang lain bukan bentuk fiskal atau kewangan.

RMK-10 ini mendapat peruntukan RM230 bilion, memang tidak banyak tambahannya berbanding dengan RMK-9 dan ternyata Najib sudah tidak mampu bermewah seperti PM-PM yang dahulu kerana Najib dihantui beban hutang Kerajaan Pusat yang telah mencecah 52.4 peratus dari KDNK atau RM362.5 bilion berakhir Oktober 2009.

Ramai ahli ekonomi telah meramalkan bahawa RMK-10 akan mengalami Zaman Kemarau atau Dry Spell. Tepat. Apakah akan ada tambahan, kita tengok sahaja dalam waktu yang terdekat, apakah Najib ‘bernafsu’ mengemukakan bajet tambahan.

HARAKAH : Secara lebih terperinci lagi peruntukannya RM230 bilion itu, ke mana akan diagihkan?

DR DZULKEFLY : Dari RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am. Tetapi yang lebih dipertikaikan adalah dalam pelaksanaannya.

Kita sedar betapa dalam hal pengangkutan awam pun kita jauh dari tahap yang memuaskan setelah melabur besar berbilion RM sama ada LRT, RapidKL dan sebagainya. Kini kita tahu betapa syarikat Prasarana berhutang sehingga RM8.7 bilion dalam bon-bon yang diterbitkan untuk menyelamatkan pelbagai pihak pemegang konsesi pengangkutan awam. Ini satu contoh.

Begitu juga aspek bekalan utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi dan lain lain.

Peruntukan untuk membangunkan IKS juga satu yang berterusan dan masih jauh dari kedudukan yang mencapai prestasi yang selesa khususnya di kalangan kelompok usahawan bumiputera Melayu atau dari Sabah dan Sarawak.

Untuk menyuntik unsur pengetahuan dan kemahiran dalam industri-industri IKS ini, banyak lagi bimbingan dan dana diperlukan dan ianya mesti dilakukan secara telus dan berdasarkan merit dan prestasi dan bukan dasar bulu atau fahaman politik.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...