Umno: Antara judi sukan dan ulama’ muda
Dengan pelbagai perkembangan yang berlaku dalam parti terbesar itu termasuk isu judi sukan yang dicetuskan oleh pemimpinnya, wajah Umno tetap sama walaupun mendapat kemasukan 1,000 ulama’ muda.
Free Malaysia Today Editorial
Penyertaan 40 ulama’ muda ke dalam Umno bukan perkara baru kerana pada awal pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri usaha-usaha demikian juga telah dilakukannya.
Kejayaan terbesar Dr Mahathir tentulah penyertaan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Anwar Ibrahim pada 1982 beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU). Kemasukan pemimpin pelajar itu ke dalam Umno mengejutkan banyak pihak kerana Anwar dilihat lebih cenderung kepada PAS.
Dr Mahathir menarik masuk Anwar adalah kerana untuk membendung pengaruh Islam PAS berikutan kejayaan pemimpin Islam Ayatullah Imam Khomeini di Iran yang menumbangkan kerajaan sekular di negara itu pada tahun 1979.
Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah kesinambungan yang telah dibuat oleh Dr Mahathir pada tahun 1980-an. Dijangka usaha itu akan berterusan dan lebih ramai lagi golongan itu akan menyertai Umno dalam masa terdekat ini.
Perkara ini disahkan oleh bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, orang yang mengatur majlis kemasukan ulama’ muda itu ke dalam Umno.
Apakah kemasukan ulama’ muda ke dalam Umno itu akan memberi kesan kepada PAS, parti yang selama ini banyak mendapat sokongan daripada golongan ulama’?
Seperti diketahui umum, dasar PAS yang memainkan slogan memperjuangkan Islam sekian lama telah menjadi tarikan kepada golongan muda lepasan agama menyertai parti itu.