Zaid bertanggungjawab jelaskan hubungan dengan Raja Petra
(Bernama) – Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), khususnya Datuk Zaid Ibrahim bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat apa hubungannya dengan pengendali portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, jika Zaid, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, seorang yang bertanggungjawab, beliau akan memberi penjelasan terhadap persoalan itu.
“Kita memang tertanya-tanya, dalam pada kita tercari-cari di mana Raja Petra, semalam kita lihat gambar Zaid bersamanya, jadi siapa sebenarnya di belakang Raja Petra?
“Raja Petra di luar negara memburuk-burukkan negara dan menyerang peribadi pemimpin, kalau ada bukti tak apa. Tapi dalam blognya cakap macam-macam. Bila ada pemimpin tertinggi pembangkang bersama mereka, kena jelaskan apa hubungan mereka dengan Raja Petra,” katanya.
Hishammuddin, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di sini, hari ini.
Raja Petra menghilangkan diri daripada dihadapkan ke muka pengadilan selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melalui web Malaysia Today.