SPRM hantar soalan kepada Bala dengan teksi London…..
Senarai soalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dijawap oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam kini di tangan peguamnya di London.
Senarai soalan SPRM itu dimuatkan dalam satu sampul dihantar dengan sebuah teksi kepada peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu di hotelnya di London.
Soalan berkenan dihantar untuk Balasubramaniam melalui perkhidmatan kurier selepas SPRM menarik balik janji mereka untuk menghantar pegawainya ke London untuk mencatatkan kenyataan penyiasat persendirian itu, yang dijadualkan semalam.
“Kami sahkan bahawa telah menerima soalan berkenaan dan sedang mengkajinya buat masa ini,” kata Americk, yang tidak mahu mengulas lanjut.
Balasubramaniam dijangka menjawap soalan itu dalam bentuk afidavit.
SPRM sedang menyiasat dakwaan bahawa beberapa tokoh mememaksannya menarik balik pengakuan bersumpah yang dibuatnya berhubung pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Antara mereka yang didakwa itu termasuk adik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – Nazim dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
Selepas kejadian itu, Balasubramaniam melarikan diri ke luar negara tetapi mengeluarkan lebih banyak kenyataan yang mengejutkan terhadap Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan juga menuduh bekas pegawai khas perdana menteri, Datuk Nasir Safar berada di lokasi kejadian apabila Altantuya diberkas oleh polis.
Meskipun SPRM telah membatalkan wawancara yang dijadualkan itu, Balasubramaniam dan peguamnya menunggu di tempat yang di jadualkan iaitu di Leinster Gardens, Holiday Villa.
Peguamnya yang hadir termasuk Americk dan Manjit Singh Dhillon dan mereka ditemani oleh ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan bloger Raja Petra Kamarudin.
“Kami tunggu dari jam 10 pagi dan beredar selepas 1 petang,” kata Americk.
Sementara menunggu, mereka menikmati ais kacang di sebuah restoran Malaysia di hotel berkenaan. Ketika itu, sampul yang membawa senarai soalan SPRM tiba melalui teksi.
Balasubramaniam akan mengadakan sidang media pada tempat yang sama pada 11 pagi Rabu ini (7 petang waktu Malaysia) dan dijangka akan membuat lagi pendedahan.