Kes Suara Keadilan – Apabila demokrasi dihukum mati
Oleh Mohamed Hanipa Maidin
Kerajaan BN yang zalim telah mengggunakan Akta zalim iaitu Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 bagi melarang PKR untuk menerbitkan akhbar Suara Keadilan. Tulisan ini ingin membawa para pembaca melihat dan mengenali Akta draconian ini dengan lebih dekat supaya para pembaca dapat melihat kezalimannya dengan lebih dekat. Harapan saya selepas para membaca artikel ini dan mengenali betapa buruknya Akta ini maka kita dapat bersama-sama dengan satu nada menyumpah Akta ini dan berdoa agar Akta ini dapat dimusnahkan dengan kadar segera.
Di dalam Islam hanya Allah yang ada kuasa mutlak. Kuasa manusia tidak mutlak. Kuasa manusia boleh dibahas dan dipertikaikan.Jika kita lihat Akta Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 ianya berpaksikan atas satu dasar sahaja iaitu Menteri Dalam Negeri adalah berkuasa penuh dan tiada siapa boleh persoalkan kuasa mutlak tersebut hatta Mahkamah .
Akta ini mengingatkan saya kepada kata-kata Lord Acton yang masyhur iaitu “ power corrupts and absolute power corrupts absolutely” ( “Kuasa itu merosakkan dan kuasa yang mutlak rosak secara mutlak” ) .
Ayuh mari kita berkenalan dengan Akta zalim ini.
Seksyen 6 ( 1 ) ( a ) memperuntukkan bahawa Menteri boleh melalui budibicaranya yang mutlak memberikan kebenaran atau permit kepada mana-mana orang untuk menncetak dan menerbitkan suratkhabar di negara ini tetapi dalam masa yang sama di bawah seksyen 6 ( 2 ) Menteri yang sama juga diberikan kuasa mutlak untuk membatalkan permit suratkhabar atau menggantungnya seberapa lama yang Menteri itu mahu.
Seksyen 13A ( 1 ) Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 memperuntukkan bahawa keputusan Menteri untuk tidak memberikan, membatalkan permit atau menggantung permit adalah muktamad dan keputusan tersebut tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana Mahkamah atas apa alas an sekalipun.
Seksyen 5 pula mengandungi 10 kesalahan yang boleh dikenakan ke atas mana-mana orang iaitu kesalahan-kesalahannya adalah mencetak, mengimport ,menerbitkan, menjual dan mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri atau kesalahan atau menawarkan diri untuk mencetak,menawarkan diri untuk mengimport , menawarkan diri untuk menerbitkan,menawarkan diri untuk menjual dan menawarkan diri untuk mengedar mana-mana suratkhabar yang tidak mendapat permit dari Menteri.
Mana-mana orang yang didapati melakukan mana-mana kesalahan dari 10 kesalahan di atas boleh ditangkap dan jika didapati bersalah oleh Mahkamah boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak lebih dari 3 tahun penjara atau dengan hukuman denda yang tidak melebihi RM 20,000-00 atau kedua-duanya.