Raja Petra: Polis buka kertas siasatan


(Utusan Malaysia) – Polis hari ini membuka kertas siasatan berhubung dakwaan wujudnya individu tertentu termasuk sebuah parti politik yang memberi perlindungan kepada pengendali portal antikerajaan Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin di United Kingdom (UK).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, langkah itu diambil setelah pihaknya menerima dua laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Katanya, siasatan mengenai dakwaan itu akan dijalankan di bawah Seksyen 212 Kanun Keseksaan iaitu melindungi pesalah selain memanggil beberapa individu termasuk ahli politik untuk membantu siasatan.

Malah, kata beliau, pihaknya juga akan turut memanggil wartawan daripada beberapa akhbar yang menerbitkan artikel berkaitan dengan dakwaan berkenaan.

“Polis telah menerima dua laporan mengenai dakwaan ini, masing-masing di Brickfields dan Petaling Jaya pada Ahad lalu.”

“Berikutan itu, kita akan memanggil beberapa wartawan sepanjang minggu ini bagi merakamkan percakapan bagi membantu siasatan sebelum kita memanggil ahli-ahli politik untuk tujuan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan 24 buah kenderaan curi yang diterima daripada Kastam Dubai berjumlah RM1.26 juta di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan gesaan pelbagai pihak meminta kerajaan mengambil tindakan terhadap pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dikatakan melindungi serta menaja Raja Petra yang amat dikehendaki oleh pihak berkuasa negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan minggu lalu mengarahkan agar siasatan segera dibuat terhadap semua bukti berhubung penajaan Raja Petra di UK seperti yang didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Mohd. Bakri bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tempoh siasatan berhubung dakwaan terhadap Raja Petra.

“Polis sudah memulakan siasatan, kita tunggu,” kata beliau ringkas.

 



Comments
Loading...