RPK jangan ingat selamat di UK…


(Berita Harian) – Beberapa foto disiarkan akhbar tempatan baru-baru ini menunjukkan aksi Raja Petra Kamarudin atau RPK dalam sebuah kediaman yang boleh dianggap mewah berpandukan hiasan dalaman dan lokasinya di penempatan elit di kota London.

Umum boleh membuat apa saja tafsiran apabila merujuk gambar berkenaan, namun daripada riak wajah pengendali blog Malaysia Today itu, tidak salah jika diterjemahkan bahawa dia seakan-akan menikmati kehidupan cukup selesa walaupun dirinya tidak ubah seperti pelarian.

Berpuluh ribu kilometer dari ibu negara England itu, RPK terus menjadi topik perbualan rakyat, pihak berkuasa, media massa hingga menteri di Malaysia yang mempertikaikan bagaimana dia boleh hidup bebas di luar negara dan sampai bila?

Tidak adakah usaha membawa pulang pengendali blog berdarah kacukan itu ke tanah air untuk didakwa atas apa juga kesalahannya? Reaksi terhadap persoalan itu dijawab pihak berkenaan – memang kerajaan berusaha, namun banyak prosedur perlu dipatuhi.

Usaha dilaksanakan termasuk memohon menyenaraikan lelaki berusia 60 tahun itu sebagai ‘Individu Paling Dikehendaki Antarabangsa – Notis Merah’ namun permohonan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditolak pula oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

Notis Merah dikatakan satu-satunya peluang membawa pengendali portal berita Malaysia Today itu pulang ke tanah air melalui proses ekstradisi untuk didakwa di mahkamah, tetapi ia juga dijangka sukar berikutan tiada perjanjian rasmi antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dalam proses ekstradisi rakyat kedua-dua negara, terutama membabitkan kes jenayah.

Bagaimanapun, peluang membawa pulang penulis blog itu masih ada iaitu melalui saluran perundangan, sebarang keputusan mengenainya turut bergantung kepada budi bicara Mahkamah British dengan mengambil kira sebab RPK perlu dibawa pulang seperti dikemuka Pejabat Peguam Negara.

Namun, sumber memberitahu walaupun permohonan berkenaan sudah dihantar awal tahun ini melalui Pejabat Peguam Negara, dikemukakan bersama dokumen berkaitan, pihak berkuasa UK dikatakan masih berdiam diri dan belum ada sebarang maklum balas diterima hingga kini.

“Antara Malaysia dan UK, kita memang tiada perjanjian ekstradisi, kecuali dengan beberapa negara jiran terutama Singapura. Justeru, harapan yang ada sekarang melalui proses mahkamah.”

“Ini bukan proses mudah dan mungkin mengambil masa kerana banyak prosedur, malah mereka (UK) juga mahu meneliti alasan yang dikemukakan mengapa perlu Raja Petra dibawa pulang,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada sidang medianya di lobi Parlimen, berkata Malaysia hanya akan menggunakan saluran sah termasuk mengekstradisi penulis blog yang sedang diburu itu bagi menghadapi dakwaan hasutan dan fitnah di negara ini.

“Pergi negara ketiga, kemudian culik dan seludup keluar dia (RPK) macam pengganas, itu bukan cara kita di Malaysia. Jika mahu ekstradisi, kita memerlukan kerjasama pihak berkaitan di sana. Ini sudah dilakukan sejak sekian lama dan kita tahu prosedur perlu diikuti di United Kingdom. Ia akan diuruskan sebaik-baiknya,” katanya.

Raja Petra menghilangkan diri selepas mahkamah mengeluarkan dua waran tangkap ke atasnya, masing-masing pada 23 April 2009 dan 23 Mei 2009 kerana gagal menghadiri perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau dituduh menerbit dan menyiarkan artikel Let’s Send The Altantuya Murderers To Hell melalui laman Malaysia Today pada 25 April 2008, selain dituduh memfitnah Rosmah serta dua lagi dalam pengakuan bersumpah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, 18 Jun 2008.

Difahamkan, Raja Petra sudah merancang usaha lari ke luar negara, termasuk memindahkan keluarganya ke London dan Manchester, kecuali anak lelakinya, Raja Azman, 31, yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana mencuri motosikal.

Taktik penulis blog itu amat licik, malah dia dipercayai menggunakan identiti palsu dan pasport negara lain yang mungkin dibeli daripada sindiket hingga sukar dikesan pihak berkuasa ketika meninggalkan tanah air serta merahsiakan destinasi dituju.

Sumber memberitahu, besar kemungkinan dia mempunyai dua kerakyatan atau setidak-tidaknya taraf pemastautin tetap (PR) Britain, sekali gus memudahkannya keluar masuk negara itu sesuka hati dan menikmati kehidupan selesa di sana.

“Ada kemungkinan dia mempunyai pasport negara itu, sama ada berwarna biru (warga negara) atau merah jambu (PR) sehingga pergerakannya keluar masuk Malaysia sukar dikesan, termasuk ketika melarikan diri dulu,” katanya.

Jika benar, ia harus disiasat untuk mengetahui bagaimana dia memperoleh kemudahan itu, selain sumber kemewahannya sedangkan Raja Petra bankrap.

“Dari mana kemewahan itu diperoleh jika tidak ditaja. Ini membuktikan Raja Petra aset pihak tertentu untuk menyerang kerajaan dan pemimpin Malaysia,” kata sumber.

 



Comments
Loading...