Lim Guan Eng: Mungkin Najib bunuh diri jika kahwin Rosmah esok?


Gobind

Lim Hong Siang, Merdeka Review

“Mungkinkah Najib akan bunuh diri jikalau beliau akan berkahwin dengan Rosmah pada keesokannya?  Tak mungkin, kan?  Kerana beliau cintakan Rosmah.  Kalau Najib tidak akan berbuat demikian, mungkinkah Teoh Beng Hock (yang sudah merancang untuk kahwin pada keesokannya) bunuh diri?”

Demikianlah logik yang digunakan oleh Lim Guan Eng, Setiauasaha Agung DAP untuk menolak kemungkinan bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), setahun yang lalu.  Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang yang pernah disiasat polis kerana mengeluarkan kenyataan bahawa “Teoh Beng Hock dibunuh” ini mengulangi pendiriannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, semalam.

“Pada malam ini, saya mengulangi di sini, saya tak percaya Teoh Beng Hock membunuh diri, boleh tak?”  Kenyataannya ini disambut tepukan kira-kira 1,000 orang hadirin, sebelum beliau menyambung, “Tak kiralah apa alasan yang anda berikan, saya tetap tidak percaya bahawa Teoh Beng Hock membunuh diri.  Kalau Teoh Beng Hock tidak membunuh diri, apakah punca kematiannya?”

Lim Guan Eng berkata demikian dalam satu Majlis Peringatan mendiang Teoh Beng Hock, bekas setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Exco kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor.  Selain keluarga mendiang Teoh Beng Hock, pemimpin politik yang menghadiri majlis peringatan tersebut termasuklah Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, ahli parlimen Lembah Pantai-PKR, Nurul Izzah, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh dan ramai lagi pemimpin DAP.

Gobind Singh, juga ahli parlimen Puchong-DAP yang berucap sebelum Lim Guan Eng, memberi janji kepada keluarga Teoh dan rakyat bahawa DAP akan cuba sedaya upaya menegakkan keadilan untuk Teoh Beng Hock.

“Kita akan lawan sampai habis untuk Teoh Beng Hock!  Biarlah mereka datang kepada kita, biarlah mereka menakutkan kita dengan laporan polis, biarlah mereka ugut kita dengan tuduhan hina mahkamah.  Biarlah mereka buat apa sahaja yang perlu…” sebelum beliau menyambung, “Tetapi mereka tidak akan dapat mematahkan semangat kita, kerana kita akan terus berjuang, tuan-tuan dan puan-puan!”

Kenyataan SPRM undang kritikan

Antara yang menjadi isu semalam, termasuklah kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Abu Kassim bin Mohamed, yang ditulis dalam bahasa Cina buat kali pertamanya.  Tuntutan ahli politik jelas lebih daripada “ucapan takziah” dan “kenyataan berkongsi kesedihan”, sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Kassim.

Misalnyam Gobind Singh (gambar kanan) mendesak Abu Kassim untuk tampil ke depan dan membuat kenyataan terbuka bahawa ,”Ya, kami (SPRM) menerima bahawa beliau (Teoh) di bawah tahanan kami, kami menerima bahawa kami tidak sepatutnya menahannya sepanjang malam, kami menerima bahawa kami harus bertanggungjawab ke atas kematian Teoh Beng Hock!”

“Kalau benar anda sedih, kalau benar anda berkongsi kepiluan… (anda perlu) minta maaf, menerima tanggungjawab tersebut, dan memberi pampasan kepada keluarga Teoh Beng Hock,” demikianlah syarat yang digariskan oleh Gobind Singh kepada Abu Kassim untuk membuktikan keikhlasannya.  Malah, Gobind Singh juga mendesak Menteri Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz untuk meminta maaf.  Sebelum ini, Nazri Aziz menuduh Teoh Beng Hock membunuh diri, dan pakar patalogi Pornthip Rojanasunan dari Thailand sebagai “penipu”.

Punca kematian MJ dikenalpasti dalam setahun

Kesabaran khalayak teruji apabila inkues yang dijalankan belum menemui punca kematian Teoh Beng Hock, selepas setahun mendiang meninggal dunia.  Lim Guan Eng mengambil contoh bagaimana bintang popular Micheal Jackson yang mati pada 25 Jun 2009, telah ditemui puncanya, bahkan pesalah telah dipenjarakan dalam masa setahun selepas kematian Micheal Jackson.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...