Ketua Audit Negara Berbohong
(Sabahkini) KETUA Audit Negara Malaysia, Tan Sri Dato’ Setia Haji Ambrin Bin Buang, didakwa berbohong kepada rakyat Sabah dengan mengeluarkan Sijil Pengesahan Audit Palsu berhubung kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri Sabah sejak 2004.
Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat Semporna, Azizul Sanarul ketika mendedahkan perkara berkenaan berkata, kedudukan Kewangan Negeri Sabah terutama pada 2008 tidak menunjukkan keadaan sebenar kerana tidak menyatakan Liabiliti dan disediakan dengan niat ‘Malafide’ sehingga membebankan pembayar cukai dengan ‘hutang terlindung’ akibat ‘kecuaian’ kerajaan negeri Sabah.
“Jika kita kaji begitu banyak kes pampasan dan gantirugi yang diputuskan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah mencabar atau mengemukakan rayuan. Oleh itu kerajaan negeri begitu banyak berhutang, tetapi tidak dimasukkan ke dalam laporan Ketua Audit Negara. Kita mahu tahu kenapa?,” tanya Azizul yang kesal kerana 212 Ahli Parlimen di Malaysia gagal mengesan pemalsuan ini sedangkan ianya dibentangkan setiap tahun di Parlimen.
Kata Azizul, kecenderungan Kerajaan Negeri membatalkan Konsesi Pembalakan atau memberikan kawasan yang tidak berkayu menyebabkan kerap disaman dan mereka yang memberi atau membatalkan kelulusan ‘dilepas dan dibebaskan’ daripada sebarang ‘Surcaj’ sebaliknya rakyat menanggung beban hutang akibat pembatalan atau pemalsuan kawasan pembalakan.
Azizul merujuk kepada Laporan Audit 2008 yang menyatakan Analisis Audit mendapati kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Sabah pada tahun 2008 adalah baik. Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri bertambah baik berbanding tahun 2007. Kedudukan kecairan tunai sangat baik di mana aset semasa mampu menampung tanggungan semasa.