Peguam Bala serah SPRM afidavit petang ini


Oleh G. Manimaran, The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Detektif persendirian P. Balasubramaniam akan menyerahkan afidavit, menjawab 52 soalan berkaitan maklumat terbaru kes pembunuhan wanita Mongolia, menerusi dua peguamnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), petang ini.

The Malaysian Insider difahamkan kedua-dua peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu dan Manjeet Singh Dhillon akan menyerahkan afidavit itu bagi pihak anak guamnya.

“Kami secara peribadi akan menyerahkan jawapan ini kepada SPRM pada pukul 2.30 petang ini,” kata Americk kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Difahamkan Manjeet kembali ke ibu negara bersama afidavit itu semalam.

Siasatan SPRM ini berkisar pada elemen rasuah berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia ini.

Minggu lalu Americk memberitahu The Malaysian Insider bahawa afidavit detektif persendirian itu yang mengandungi respons kepada 52 soalan berhubung maklumat terbaru kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu akan diserahkan kepada SPRM minggu ini.

“Jawapan sudah disediakan… (seorang lagi peguam Balasubramaniam) Manjeet akan membawanya ke Kuala Lumpur minggu depan (ini),” kata Americk.

The Malaysian Insider difahamkan sebelum ini SPRM memberikan tempoh kira-kira sebulan kepada Balasubramaniam untuk menjawab jawapan secara bertulis.

Difahamkan soalan-soalan itu berkaitan dengan elemen rasuah berhubung kes pembunuhan Altantuya dan akan membolehkan SPRM melengkapkan siasatan mereka berhubung aduan dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ekoran pendedahan Balasubramaniam menerusi temu bualnnya di Singapura akhir tahun lalu.

Balasubramaniam awalnya mahu mengadakan pertemuan bersemuka dengan pegawai-pegawai kanan SPRM di London pada 5 Julai lalu tetapi rancangan itu dibatalkan oleh suruhanjaya tersebut kira-kira enam hari sebelum itu.

Tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

BACA SINI SELANJUTNYA

 



Comments
Loading...