Idea parti baru Perkasa ditolak, PAS dan Umno akan kekal


Oleh G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra, The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 23 Julai – PAS dan Umno menolak bulat-bulat idea Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali agar kedua-dua parti Melayu-Islam itu dibubarkan bagi mengorak langkah penubuhan parti baru jika usaha kerjasama perpaduan gagal menjadi realiti.

Kedua-dua parti yang berusia lebih enam dekad ini akan kekal dengan matlamat perjuangan masing-masing sambil menyifatkan idea yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu sebagai pandangan peribadi beliau semata-mata.

Sebaliknya terpulang kepada Ibrahim dan Perkasa jika mahu menubuhkan sebuah parti baru, kata pemimpin Umno dan PAS yang dihubungi The Malaysian Insider.

Seolah-olah menyindir cadangan Ibrahim supaya ditubuhkan parti Melayu baru, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, “baguslah kalau ada parti baru.”

Katanya, PAS memang mengalu-alukan cadangan tersebut kerana ia akan membuktikan amalan demokrasi subur di negara ini.

“Kalau beliau (Ibrahim) nak jadikan Perkasa sebagai parti politik pun bagus juga, ia akan memurnikan lagi politik dalam negara.

“Tidak perlu bubar PAS ataupun Umno, nanti ada tiga parti Melayu iaitu PAS, Umno dan Perkasa. Baru meriah sikit, nanti biar rakyat sahaja yang buat keputusan parti mana yang mereka mahu,” kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub enggan memberikan sebarang komen tentang perkara itu.

“Biarlah beliau (Ibrahim) nak cakap apa pun, saya malas nak layan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi awal pagi ini memberitahu, Umno dan PAS yang sudah lama wujud dalam arena politik negara ini, sejak era memperjuangkan kemerdekaan, akan berusaha ke arah mencapai perpaduan kedua-dua parti itu.

“Umno telah berjasa sejak era kemederkaan, akan berusaha ke arah perpaduan orang Melayu dan Islam, yang sudah pasti akan menguntungkan semua kaum di negara ini… akan memfokus soal perpaduan (Umno-PAS), tetapi Umno dan PAS tidak akan dibubarkan, Umno sudah pasti (tidak akan dibubarkan)…,” katanya.

“Bagi saya apa yang dikatakan oleh Datuk Ibrahim adalah pandangan peribadi beliau,” katanya.

Ditanya apakah pihak yang mengesyorkan idea itu boleh menubuhkan parti baru mereka, Ahmad memberitahu, “itu terpulang kepada mereka.”

Bagaimanapun kata beliau, pengalaman masa lalu menunjukkan parti-parti baru tidak akan berkekalan.

Sehubungan itu jelasnya, Umno tidak pernah berhadapan dengan sebarang masalah kecuali satu atau dua bahagian yang memperlihatkan krisis dalaman.

“Sebanyak 189 bahagian lagi tiada masalah, satu dua bahagian sahaja bermasalah; peratusan yang sangat kecil… tiada masalah, Umno masih kukuh, akan kekal,” katanya.

Kedua-dua ahli Parlimen ini diminta mengulas kenyataan Ibrahim yang mengatakan sebuah parti Melayu yang baru perlu ditubuhkan sebagai pilihan terakhir jika kesemua usaha untuk menyatukan kerjasama PAS dan Umno gagal.

Ibrahim berkata, parti baru ini seharusnya mengadaptasikan objektif kedua-dua PAS dan Umno.

“Saya tahu idea ini sesuatu yang provokatif, tetapi perlembagaan untuk satu parti Melayu yang baru, yang menggabungkan matlamat PAS dan Umno boleh dirangka oleh sebuah jawatankuasa pemandu,” kata Ibrahim lagi.

Katanya, ia adalah mekanisme menjaga air muka, sekali gus mengelakkan persoalan sama ada PAS harus menyertai Barisan ataupun sebaliknya tidak timbul sama sekali.

“Bubarkan PAS, bubarkan Umno dan semua sertai parti baru,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perkasa semalam.

Perkasa datang dengan idea itu ketika cakap-cakap mengenai kerjasama perpaduan dan politik antara Umno dan PAS muncul semula awal bulan ini.

READ MORE HERE.



Comments
Loading...