Mencari persamaan dan melupakan perbezaan antara mazhab (sect) OK. Mencari persamaan dan melupakan perbezaan antara agama tidak OK?


Jika kita boleh mempunyai toleransi terhadap apa yang kita anggap salah, palsu, batil di dalam kalangan umat Islam (1 billion manusia) dan boleh meletakkan perbezaan ini ke tepi demi mencari keamanan dan kemakmuran di kalangan orang Islam, kenapa pula kita tidak boleh mempunyai toleransi terhadap apa yang kita anggap sebagai salah, palsu, batil di kalangan manusia berlainan agama (4 billion) dan kenapa pula kita tidak boleh meletakkan perbezaan antara agama-agama ini ke tepi demi mencari keamanan dan kemakmuran sesama umat manusia.

by ExPet

Suatu perkara yang sudah agak lama bermain di dalam fikiran saya ialah tentang seruan atau saranan oleh golongan ulama dan ustaz supaya umat Islam meletakkan perbezaan akidah antara mazhab, jemaah dan puak ke tepi, dan kita fokus kepada mencari persamaan. Seperti yang kita ketahui, perbezaan doktrin di antara mazhab ini sungguh mendalam sehingga tokoh ilmuan mazhab masing-masing menganggap pegangan mazhab lain sebagai sesat dan tidak akan selamat pada hari pembalasan di akhirat.

Perpecahan tunjang yang paling besar di dalam umat Islam ialah Sunnah dan Syiah. Di dalam isu akidah seperti pemahaman terhadap sifat-sifat Allah, golongan Sunnah berpecah pula kepada golongan Ashari, Maturidi dan Salafi. Di dalam isu fikah (cara sembahyang, berpuasa, menunaikan haji), golongan Sunnah berpecah lagi kepada Hanbali, Hanafi, Maliki dan Syafie. Di dalam kes-kes tertentu, pengikut mazhab Syafie di Malaysia berbeza dengan pengikut mazhab Syafie di negara lain seperti Jordan, misalnya. Golongan Syiah pula berpecah kepada beberapa mazhab (bergantung kepada berapa jumlah “divine” imam yang mereka percaya). Majoriti penganut Syiah di Iran dan Iraq ialah penganut Syiah 12 Imam (dipanggil “Jaafari Imami Ithna Asheri” di dalam bahasa Arab atau “Twelver” dalam bahasa Inggeris). Mazhab lain Syiah ialah seperti Alawiyah yang kebanyakan penganutnya tinggal di Syria. Keluarga Al-Assad (pemerintah Syria) adalah penganut Alawiyah. Mazhab Syiah yang lain ialah Zaidiyah dan Ismailiyah (ketua mereka ialah Aga Khan). Sesetengah ulama menganggap penganut agama Druze juga sebagai Syiah kerana tunjang akidah mereka ialah penghormatan kepada Ali Bin Abu Talib.

Apa yang ingin saya utarakan di sini ialah, terdapat perbezaan akidah di antara sesetengah mazhab ini yang mana tahap perbezaan mereka seperti juga perbezaan di antara akidah Muslim dan Kristian.

Read more at: Mencari persamaan dan melupakan perbezaan antara mazhab (sect) OK. Mencari persamaan dan melupakan perbezaan antara agama tidak OK?

 



Comments
Loading...