Umno-BN Jadikan Malaysia Destinasi Tidak Menarik Bagi FDI
Oleh Rusnizam Mahat, Suara Keadilan
SHAH ALAM 26 Julai – Malaysia di bawah pentadbiran Umno-Barisan di mana gejala rasuah dan salahguna kuasa berleluasa sekali lagi dimalukan apabila negara berdepan dengan aliran pelaburan langsung asing (FDI) paling teruk dalam tempoh 15 tahun pada 2009 sekali memberi tamparan hebat kepada tahap dan keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Malah Umno-BN telah menyebabkan Malaysia kini jauh ketinggalan berbanding Singapura, Taiwan dan Korea Selatan yang pernah memiliki tahap keupayaan ekonomi yang serupa dengan Malaysia pada satu ketika.
Berdasarkan laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah FDI pada 2009 jatuh mendadak kepada RM19.04 bilion berbanding RM23.47 pada tahun 2008.
Angka itu menjunam sebanyak RM4.43 bilion dan merupakan pencapaian terburuk pernah dialami Malaysia sejak 1995.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, laporan terbaru FDI itu menggambarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 6 peratus setahun dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) bakal tersasar.
Beliau menyifatkan andaian Najib bahawa ekonomi negara akan dipacu oleh pelaburan swasta sebagai tidak realistik.
“Ini kerana pelaburan swasta disokong oleh pelaburan tempatan dan dari luar. Isunya Najib membuat andaian pertumbuhan RMK10 dengan sasaran pertumbuhan pelaburan 12 peratus setiap tahun untuk lima tahun dalam RMk10. Garis asas RM50 bilion FDI ditingkatkan sehingga ke paras RM151 bilion iaitu melebihi 100 peratus.
“Berdasarkan laporan mutakhir ini nyata kemungkinan besar sasaran RMK10 tersasar dan jauh meleset. Malaysia paling corot dalam FDI yang bukan sahaja menunjukkan kemasukan FDI yang rendah, tetapi juga pelaburan keluar paling banyak. Ini sangat mencemaskan,” kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambahnya, tanpa suntikan FDI, unjuran pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas teruk sedangkan kerajaan pula tidak mampu berbelanja akibat beban hutang negara yang meningkat.
Menurut Dr Dzulkefly lagi kegagalan kerajaan menggamit FDI juga bermakna usaha kerajaan menjana pendapatan tinggi di kalangan rakyat Malaysia tidak akan tercapai.
“Mengapa di sebalik usaha kerajaan menarik FDI ini gagal, jawapannya kepada apa yang dilihat pelabur di negara kita,” ujarnya.
Tegasnya, pelbagai faktor menjadi punca kemerosotan FDI selain pertumbuhan ekonomi yang kurang memberansangkan disebabkan urustadbir kewangan yang buruk.
Isu integriti kerajaan menghakis minat pelabur asing termasuk amalan rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan awam termasuk amalan-amalan seperti tender secara runding terus.
Manakala kerugian syarikat hubungkait kerajaan (GLC) dan syarikat tersenarai awam (PLC) yang melakukan banyak kesilapan pengurusan dan pelaburan turut menjejaskan kadar kemasukan FDI.
Di samping itu, Malaysia kini tidak lagi menjadi destinasi yang menarik minat pelabur disebabkan kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan,
“Nisbah tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia ialah 300 hingga 400 bagi setiap 100,000 pekerja berbanding negara maju yang memiliki nisbah 3000 kepada 100,000 pekerja. Dari sudut keupayaan tenaga kerja berkemahiran tinggi tidak sampai 25 peratus dari jumlah tenaga pekerja di negara ini,” jelas Dr Dzulkefly.