Surat sokongan: Khalid arah jabatan audit siasat


(Harakahdaily) – Kerajaan Selangor mengarahkan Jabatan Audit Negeri menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kepala surat (letterhead) yang dijadikan sebagai surat sokongan untuk mendapatkan kontrak Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Menurt Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, kerajaan negeri telah meminta Pengarah Jabatan Audit Negeri, Datin Paduka Ungku Arfah Ungku Tahir untuk menyiapkan siasatan dalam tempoh sebulan.

Tempoh itu dierikan supaya masa yang cukup diperlukan untuk meneliti semua surat-surat yang telah dikeluarkan dan menemubual pihak serta individu tertentu yang berkaitan.

“Sementara menunggu penyelesaian siasatan oleh Jabatan Audit Negeri, saya telah menyarankan supaya Ahli Majlis MPK, En.Tee Boon Hock mengambil cuti dari jawatannya sehingga satu keputusan dibuat.

“En Tee telah dimaklumkan mengenai saranan ini dan beliau sendiri dengan rela hati bersetuju dengan saranan ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Membuat penegasan lanjut, beliau juga berkata kerajaan Selangor tidak akan menghukum seseorang yang didakwa bersalah sehingga beliau benar-benar didapati telah melakukan kesalahan.

Tee diarah bercuti sebagai Ahli Majlis MPK agar tidak menganggu tugasnya di samping memudahkan siasatan dilakukan dengan seadil-adilnya.

“Sebagai Kerajaan Negeri yang mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran,  kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati menyalahguna kuasa yang diamanahkan,” jelasnya.

Sebelum ini akhbar The Star yang mendakwa Tee Boon Hock menyalahgunakan surat dan cop rasmi exco untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan kontrak untuk kroni dan anggota keluarganya.

Menurut laporan akhbar itu juga Boon Hock telah memperoleh kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat daripada majlis itu sejak berkhidmat pada Julai 2008

Boon Hock bagaimanapun menafikan laporan itu dan sedang mempertimbang untuk menyaman akhbar terbabit kerana didakwa merosakkan reputasi diri dan keluarganya.

 



Comments
Loading...