Bila seorang Tun diseret kemahkamah


TUNTUTAN RAKYAT KUASA KERAMAT

Kalau Tun Ling Liong Sik boleh disiasat dan diseret ke muka pengadilan, tentunya Tun Dr. Mahathir juga boleh disiasat, Tun Musa Hitam turut sewajarnya diselidiki bagaimana urus tadbirnya dalam Sime Derby, Tun Daim Zainuddin, dan lebih utama lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

KAMAL AMIR MENULIS

Akhirnya Tun Dr. Ling Liong Sik mantan Presiden parti China Malaysia (MCA) terseret juga ke muka pengadilan atas tuduhan mengelirukan kabinet berhubung skandal pembangunan Zon Bebas Cukai Pelabuhan Kelang (PKFZ) yang diberitakan sebagai sebahagian daripada perampokan wang rakyat  di kalangan penyangak bergelar pemimpin.

Selama dua tahun isu skandal PKFZ menghantui pemikiran rakyat untuk merasa jelek, marah, geram serta menyimpan dendam terhadap pemimpin atas perlakuan mereka menyamun harta rakyat, dan dengan tersiarnya gambar serta berita di media arus perdana berhubung tangkapan tersebut tentunya ia mengundang pelbagai persepsi baru.

Ada pihak mengatakan kerajaan hari ini benar-benar serious dalam usaha menentang korupsi, ada pula beranggapan ia bagaikan satu sandiwara terancang bagi menutup beberapa kes lain berprofail tinggi, malahan terdapat andaian kes tersebut tidak lebih dari “silap mata” pemerintah sebagaimana berlaku keatas kes pecah amanah mendiang Tan Sri Eric Chia dalam kes Perwaja yang akhirnya lebur tidak kesampaian.

Dari pelbagai laporan, skandal PKFZ melibatkan berbillion ringgit telah disauk dan di samun oleh mereka bernama pemimpin dengan menjadikan “rakyat pembayar cukai” sebagai kuda tonggangan untuk memikul bebannya. Sepertimana dalam kes Perwaja, apakah wang sebegitu banyak yang disonglap boleh dipulangkan kembali ke dalam kantung khazanah Negara?

Bagaimana pula dengan kes Sime Derby yang diterajui oleh Tun Musa Hitam? Sembang kalangan masyarakat koprat turut meyakini ujudnya “rampokan dan samunan wang rakyat” dilakukan oleh mereka bergelar pemimpin. Bila pula agaknya kes tersebut dapat diselesaikan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah?

Sudah tertutupkah kes leburnya wang rakyat bernilai lebih tiga puluh billion yang dilakukan oleh penyangak  yang masih berlegar dianjung kuasa dalam kes pertukaran wang asing beberapa tahun lalu? Perlukah ianya diperap dan  disembunyikan begitu sahaja? Bukankah ia juga merupakan satu jenayah perdagangan?

Penangkapan dan terseretnya Tun Ling Liong Sik ke mahkamah saat Perdana Menteri Satu Malaysia memulakan musim percutiannya dilihat sebagai  saat bermulanya kotak Pandora “Pandora Box” yang penuh hancing, busuk serta serba menjijikkan terbuka kepada umum.

Dalam konteks ini sewajarnya Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah benar-benar mengotakan janjinya untuk mengheret setiap petualang ke muka pengadilan yang tidak ada sebarang campurtangan politik oleh mana mana pihak. Ia tidak seharusnya hanya menjadikan Tun Ling Liong Sik sebagai seekor “Kambing Hitam” yang dijadikan korban untuk melepaskan para penyangak yang mengisi tembolok kekayannya hasil dari wang rakyat.

Rakyat menanti dengan penuh harapan agar kes kes seperti penyelewengan dalam Sime Derby, Felda, Tabung Haji, Syarikat Perumahan Negara, Proton (yang menjual saham ratusan juta pada harga satu ringgit era rejim Abdullah Ahmad Badawi), Pembelian kapal selam Scorpen, Penyerahan Blok L dan M yang memiliki sebegitu besar jumlah minyak kepada Brunei oleh  Abdullah Ahmad Badawi segera disiasat dan di bawa ke muka pengadilan.

Urus tadbir kewangan syarikat Petronas yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri juga sewajarnya perlu  disiasat ke akar umbi, kemana dan bagaimana wang beratus-ratus billion yang dijana dari hasil bumi Negara di belanjakan? Setiap penyangak atau “Mat laun” penyamun harta rakyat semestinya tidak dibiarkan bebas.

Khabarnya semasa Tun Dr. Mahathir Mohamed berada di anjung Seri Perdana, terdapat beberapa akaun simpanan  khazanah dibuka di beberapa buah institusi kewangan di luar Negara. Apa terjadi dengan wang beratus-ratus billion itu? Bilakah saat matangnya untuk kembali dibawa pulang bagi menampung keperluan Negara?

Selain Tun Daim Zainuddin yang pernah menjadi Menteri kewangan, “brother Anwar Ibrahim” juga saya yakin tahu berhubung akaun rahsia ini. Usahlah bertanya pada Abdullah Ahmad Badawi kerana  tentu jawapan “banggapnya” akan di jelamakan“ saya tak taupun…itu  kena Tanya Dr. Mahathir lah…”

Bercakap tentang penangkapan Tun Dr. Ling Liong Sik mantan Presiden MCA tempoh hari, ujud satu pertanyaan yang sukar diungkapkan di kalangan rakyat, apakah dengan memakai gelaran Tun maka sesaorang itu boleh dihadapkan ke mahkamah? Kenapa tidak di tarik terlebih dahulu darjat serta darjah kebesaran yang tertinggi di Negara sebelum batang tubuh Ling Liong Sik dibawa ke muka pengadilan?

Perlu diperjelaskan bahawa pemakaian gelaran Tun merupakan anugerah yang cukup terhad. Jika tidak silap saya hanya 35 orang sahaja pada sesauatu masa boleh memakai gelaran tersebut dan ia hanya diberikan kepada mana-mana individu yang lain apabila berlaku kekosongan seperti di pecat  dari senarai anugerah ataupun meninggal dunia.

Dalam erti kata lain, teramat istimewa jadinya bagi sesaorang insan yang berjaya mencapai anugerah tersebut. Namun dengan terseretnya Tun Ling Liong Sik maka ia bolehlah disifatkan sebagai “hari-hari gerhana” bagi pemilik gelaran Tun. Atau boleh juga dikatakan, “maka beraraklah mendung kemurungan kepada mereka memakai gelaran Tun”. Tiada lagi sebarang imuniti, tiada sebarang keisitimewaan lagi, dan lebih mendukacitakan, sesaorang pemilik gelaran Tun juga boleh menjadi penyangak untuk merampok harta rakyat.

Jika begitulah natijahnya, apakah Tun Dr.Mahathir Mohamed juga bakal terseret ke muka pengadilan satu ketika nanti jika rahsia di sebalik kejatuhan skandal Mamimco di kota London dan tersepuknya ekonomi Negara apabila sejumlah tiga puluh billion ringgit lebur dalam percaturan tukaran wang asing di siasat setelus telusnya?

Bagaimana pula jadinya terhadap Tun Daim Zainuddin yang seringkali di lihat sebagai pemilik jari jemari emas “ man’s with golden fingers” saat berada di anjung kuasa satu ketika dahulu? Sudah di tutupkah akaun kewangan parti Umno yang khabarnya berbillion ringgit turut lesap sebaik sahaja Umno diistiharkan haram oleh mahkamah dan digantikan dengan Umno baru era dr. Mahathir?

Apa jadi dengan kumpulan Fleet, kemana leburnya sahama-saham yang mungkin ramai tidak mengetahui milik Umno tersimpan melalui calon-calon proksi sebagai pemagang amanah?

Kalau Tun Ling Liong Sik boleh disiasat dan diseret ke muka pengadilan, tentunya Tun Dr. Mahathir juga boleh disiasat, Tun Musa Hitam turut sewajarnya diselidiki bagaimana urus tadbirnya dalam Sime Derby, Tun Daim Zainuddin, dan lebih utama lagi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Saya tidak fakir Tun Dr. Siti Hashmah wajar di siasat, jauh sekali mahu mengaibkan Tun Hajjah Rahah balu Almarhum Tun Abdul Razak @ Perdana Menteri Kedua Malaysia @ bapa kepada Dato’ Seri Mohd Najib Perdana Menteri Satu Malaysia dan suami kepada Rosmah Mansor, begitu juga dengan Tun Jean Abdullah, mereka semua ini terhindar dari perlakuan karut menyauk harta rakyat.

Oleh itu untuk mempatikan agar kemuliaan darjat Tun yang dianugerahkan kepada sesaorang  individu,  sudah sampai masanya di fikirkan satu jalan bagaimanakah harus pimpinan Negara  menangani gejala sebegini yang sudahpun terdedah ekoran terseretnya Tun Dr. Lin Liong Sik ke muka pengadilan.

Dalam situasi sebegini, Suruhanjaya Badan Pencegah Rasuah juga seharusnya  tidak menutup matanya terhadap alegasi rakyat dalam kes kes seperti Maika Holding yang dikatakan ada hubung kaitnya dengan Presiden MIC, Brother Samyvellu. Tidak terkecuali kes istana Khir Toyo mantan Menteri Besar Selangor dan berpuluh-puluh alegasi lain.

Bagi rakyat, perkiraannya mudah, dengan latar belakang dari insane marhain atau orang biasa, mana-mana pemimpin yang  memiliki harta berjuta  wajar di siasat dari mana punca kekayaan mereka, kalau boleh beli rumah di kota London bernilai puluhan juta, tentunya wang tersebut bukan datangnya dari langit, jauh sekali berjaya memenangi cabutan tiket loteri berulang kali. Kekayaan, kemewahan yang mereka miliki sewajarnya disiasat puncanya dari mana….fikir-=-fikirkanlah.

Nota: Agak lama juga saya menyepi  dari menulis dalam blog Malaysia Today, namun perkembangan mutakhir mengundang saya untuk kembali menganalisa setiap kebejatan dan kepincangan pemimpin.

 



Comments
Loading...