MBE tetap pertahan hak Melayu


(Utusan Malaysia) – Orang Melayu diminta mengubah persepsi negatif kononnya projek pembangunan Kampung Baru di sini yang akan dilaksanakan di bawah kerangka Model Baru Ekonomi (MBE) tidak akan menguntungkan kaum itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, persepsi sedemikian adalah salah kerana MBE sentiasa mempertahankan kepentingan orang Melayu.

Sehubungan itu, beliau berharap UMNO Wilayah Persekutuan mengambil daya usaha untuk memberikan penerangan kepada orang Melayu bagi memperbetulkan persepsi kononnya MBE tidak mempertahankan kepentingan kaum itu.

”Salah satu projek besar yang akan dilaksanakan di bawah kerangka MBE adalah pembangunan Kampung Baru.

”Kita tidak rela melihat Kampung Baru ‘berkarat ‘ di bawah bayangan menara berkembar tertinggi di dunia. Ini seolah-olah menggambarkan betapa jauhnya terkebelakang orang Melayu di ibu kota,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kata-kata aluan buku cenderamata sempena Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2010 yang dirasmikan oleh timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur merupakan medan hadapan dalam menjayakan konsep 1Malaysia kerana ia adalah tempat tumpuan pelbagai kaum di negara ini.

”Saya juga mahu melihat UMNO Wilayah Persekutuan mengambil tanggungjawab penting dalam mempromosikan konsep ini kerana ia adalah perkakasan utama kita dalam memenangi hati rakyat pelbagai kaum di ibu kota.

”Konsep ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ merupakan falsafah negara yang akan memacu kita menjadi sebuah negara bangsa Malaysia yang makmur dan harmoni,” ujarnya.

Najib turut menekankan keazaman besar beliau untuk melihat UMNO Wilayah Persekutuan kembali bertenaga dan terus relevan dalam persada politik negara yang dibuktikan dengan pelantikan Muhyiddin bagi mengetuai badan perhubungan negeri itu.

”UMNO Wilayah Persekutuan memainkan peranan yang amat strategik dari segi geopolitik negara kerana keadaan sosiopolitik di ibu kota ini akan mempengaruhi seluruh negara,” katanya.

Untuk memastikan hasrat itu tercapai, tegasnya, UMNO Wilayah Persekutuan perlu melakukan transformasi yang besar dalam semua pendekatan yang akan dilaksanakannya.

”Sekiranya kita tidak melakukan transformasi maka bagaimanakah kita boleh mengubah nasib kita.

”Moto UMNO Wilayah Persekutuan iaitu ‘Dekat, Khidmat, Pikat’ memang cantik bunyinya, tetapi hendaklah juga cantik pelaksanaannya,” kata Najib.

 



Comments
Loading...