Pengerusi: SPR timbang sedia daftar pemilih setiap bulan
KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji sistem baru menyediakan daftar pemilih setiap bulan berbanding pendekatan tiga bulan sekali atau suku tahun yang diamalkan sejak lapan tahun lalu.
Agensi pengendali pilihan raya itu mengkaji pendekatan tersebut bagi membolehkan orang ramai mengetahui status permohonan merek setiap bulan berbanding sekarang yang kadangkala mengambil masa sehingga empat bulan.
Mengesahkan perkara tersebut yang kini dipertimbangkan SPR, Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, langkah itu akan membolehkan seseorang bakal pemilih mengetahui status permohonan masing-masing dalam tempoh sekitar satu bulan.
“Kami sedang mengkaji kemungkinan, di mana mengesahkan permohonan dan mewartakan daftar pemilih setiap suku tahun, yang diamalkan sekarang diubah kepada setiap bulan selepas ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Mungkin dalam tempoh empat hingga enam minggu status permohonan boleh diketahui,” kata Abdul Aziz lagi.
Langkah itu akan membolehkan pengesahan status seseorang pemilih dilakukan dengan cepat, dan lebih ramai berpeluang mengundi dalam pilihan raya.
SPR mengkaji langkah tersebut ekoran aduan bahawa agensi itu mengambil masa yang lama untuk mengesahkan permohonan seseorang yang mendaftar sebagai pemilih baru.
Misalnya jika seseorang itu memohon pada awal Januari sesuatu tahun, dia hanya boleh mengetahui status sama ada menjadi pemilih yang sah ataupun sebaliknya pada bulan Mei tahun berkenaan.
Bermakna keseluruhan proses penyemakan, tuntutan, bantahan, pameran dan mewartakan daftar pemilih lazimnya mengambil masa lebih empat bulan.
Oleh itu jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sekitar suku tahun terbabit pemohon tidak boleh mengundi dalam pilihan raya.
Sebagai contoh, SPR tidak dapat mengesahkan mereka yang memohon menjadi pendaftar pemilih antara Januari dan awal Mac, sekali gus keciciran peluang mengundi pada pilihan raya umum 2008.
Ekoran sistem yang dipertimbangan, Abdul Aziz berkata, Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 akan dipinda.
Sistem penyediaan daftar pemilih setiap suku tahun – yang dikenali sebagai daftar pemilihan tambahan kepada daftar pemilih induk, digunakan sejak Julai 2002.
Sebelum 2002, SPR hanya mengendalikan pendafatran pemilih baru sekali dalam setahun dan ia mencetuskan rasa tidak senang apabila hampir sejuta orang mendaftar pada 1999 gagal untuk mengundi pada pilihan raya umum tahun berkenaan.
Di bawah sistem semasa dilaksanakan sejak 2002, pendaftaran baru boleh dijalankan setiap hari tetapi proses semakan dan mewartakan daftar pemilih hanya dijalankan setiap tiga bulan sekali.