Umno, Perkasa gagalkan 1Malaysia Najib
(Harakahdaily) – PAS mendakwa Umno adalah musuh utama gagasan 1Malaysia yang mahu dijayakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga presiden parti itu.
Malah, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa 1Malaysia gagal membentuk perpaduan kaum, jelas menunjukkan bahawa Najib hanya berseorangan dengan gagasannya itu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam hal itu gabungan Muhyidin dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipimpin Datuk Ibrahim Ali sudah cukup untuk menjatuhkan Najib.
“Musuh terbesar Najib adalah Umno. Ada pepatah mengatakan dengan kawan-kawan seperti ini, anda tidak perlu memerlukan musuh.
“Dengan ultra Melayu Perkasa, ditambah sokongan Timbalan Perdana Menteri, jatuhlah Najib. Najib kini ada hanya Khairy seorang sahaja,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Ghazali pula mempersoal tindakan Muhyiddin yang dilihat hanya berani membuka mulut apabila Najib ke luar negara.
“Kenapa kata ia gagal apabila PM bercuti di luar negara? Adakah timbalan PM hanya berani apabila PM tidak ada dalam negara?” soalnya.
Bagi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula, konsep satu Malaysia adalah sesuatu yang sememangnya dimahukan rakyat namun Umno bukan wadah terbaik memperjuangkannya.
Malah katanya, Pakatan Rakyat sudah lama memperjuangkan perkara itu sejak dulu lagi berasaskan perinsip keadilan untuk semua kaum.
Mengulas pandangan itu, Dzulkefly menambah, 1Malaysia dislogankan Najib, diamal dan dihayati oleh Pakatan sejak dulu.
Mereka berkata demikian pada satu sidang media bersama di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut di sini pagi ini.
Turut serta pada sidang media itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah, Mohamad Nor Mohamad.
Pandangan sama sebelum ini pernah dilontarkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu Najib melaungkan slogan tersebut ketika awal dilantik menjadi perdana menteri.
Menurut Nik Aziz, 1Malaysia Najib adalah sia-sia kerana orang pertama yang menentang konsep itu adalah Umno sendiri yang sudah sebati dengan doktrin dan perjuangan perkauman sejak dahulu lagi.