Kemerdekaan Milik Siapa?
Oleh Amin Iskandar
Tindakan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) mengganasi, meleraikan dan menangkap aktivis-aktivis yang berhimpun secara aman bagi memperingati 50 tahun kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima.
Ini adalah kerana hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat Malaysia yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan adalah kitab suci bagi negara Malaysia sepertimana Al-Quran adalah kitab suci bagi umat Islam.
Oleh itu, undang-undang yang dibuat seperti Akta Polis, tidak bolehlah bercanggah dengan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sepertimana hadis atau pandangan ulamak tidak boleh bercanggah dengan apa yang tertulis di dalam Al-Quran.
Upacara bakar lilin (candlelight vigil) dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di seluruh negara seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan pada malam 1 Ogos lalu pada mulanya berjalan secara aman.
Akan tetapi, ianya bertukar menjadi “huru-hara” atau kecoh apabila datangnya anggota PDRM.
Sudah pasti mereka-mereka yang turun beraksi pada ketika itu akan merasa marah dengan tindakan ganas dan tidak profesional anggota PDRM dalam menangani perhimpunan aman.
Yang hairannya, jika demonstrasi, bantahan atau piket yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) sealiran dengan parti pemerintah seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) atau parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), anggota PDRM bertindak profesional dan tidak menyuraikan atau membuat tangkapan.