Bajet: DUN Terengganu mohon tambah RM220 juta, cecah RM2.1 bilion


Oleh G. Manimaran. The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Terengganu mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung minggu ini, antara lain akan meluluskan peruntukan tambahan RM220 juta — melonjakkan saiz bajet 2010 kepada RM2.1 bilion — dipercayai bakal mencecah belanjawan tertinggi negeri itu setakat ini.

Negeri itu menggunakan sekitar RM1.8 bilion bagi tujuan belanjawan 2009 dan meningkat kepada anggaran RM1.88 bilion tahun ini.

Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN pada Ahad dan Isnin ini akan mencadangkan usul membuat ketetapan meluluskan peruntukan tambahan bagi menampung perbelanjaan pentadbiran negeri.

Usul tersebut dijangka dibawa oleh ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman yang mencadangkan peruntukan tambahan  perbelanjaan pembangunan sebanyak RM157 juta manakala Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dijadual membentangkan Enakmen Perbekalan Tambahan Pelbagai Perkhidmatan yang bakal menambah bajet mengurus negeri RM63.2 juta.

Kedua-dua tambahan kewangan itu melibatkan RM220.3 juta.

DUN yang bersidang akhir tahun telah meluluskan Bajet 2010 melibatkan RM1.88 bilion.

Peruntukan tambahan itu dikatakan menjadikan Terengganu satu-satunya negeri di Semenanjung meluluskan bajet terbesar bagi 2010 iaitu sebanyak RM2.2 bilion.

Mengulas perkembangan tersebut, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut berkata, bajet Terengganu adalah yang tertinggi di Semenanjung.

Wakil-wakil rakyat dijangka akan membangkitkan peningkatan bajet melepasi RM2 bilion ketika wujud spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan.

“Isunya bukan kami (Pakatan Rakyat) setuju atau tidak (perbekalan tambahan), tetapi dari mana sumber wang tambahan ini diperoleh dan bagaimana ia  hendak dibelanjakan… duit minyak tiada, wang royalti memang tidak, mungkin wang ihsan.

“Ini satu jumlah yang tinggi bagi negeri seperti Terengganu, saya belum ada butiran, tetapi walaupun peruntukan meningkat tetapi rakyat masih miskin, tidak menikmati hasil projek” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terenggu dan ADUN Wakaf

Mempelam dengan merujuk kepada kejadian beberapa projek awam rosak termasuk stadium runtuh.

Stadium Mizan Zainal Abidin berharga kira-kira RM292 juta runtuh setahun selepas ia siap dibina untuk Sukma Ke-12 pada Jun  2008.

Dalam pada itu, ADUN Ladang Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, “dengan tambahan peruntukan ini, saya merasakan ini kali  pertama Terengganu merekodkan bajet paling tinggi dalam sejarah negeri.”

“Tambahan peruntukan bajet bermakna perbelanjaan kerajaan negeri juga semakin meningkat… ini cara kerajaan negeri menguruskan duit rakyat,” kata beliau yang juga bekas pegawai kerajaan negeri iaitu pada 2004.

“Permohonan perbekalan tambahan ini juga menunjukkan kerajaan negeri membuat perbelanjaan tanpa merancang, dengan harapan  akan memperoleh peruntukan daripada pusat,” kata beliau.

“Sudah pasti kami akan mengemukakan soalan mengenai isu ini, yang menunjukkan kerajaan tiada perancangan rapi dalam soal  perbelanjaan,” kata Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Terengganu ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...