Ada Apa Dengan Anwar?


By Hazrul D. Nizam (myargumentum.blogspot.com)

Blogger popular, Sakmongkol AK47 telah menulis beberapa artikel yang mensasarkan Anwar Ibrahim sejak beberapa hari yang lalu. 

Artikel ini pula bukanlah ditulis untuk mempertahankan Anwar, mahupun mengutuk Sakmongkol AK47. Akan tetapi, artikel ini berminat untuk mengupas dengan lebih mendalam tentang isu sebenar yang secara tidak langsung diketengahkan oleh Sakmongkol AK 47 iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN) kurang bijak berpolitik jika terus menumpukan usaha mereka menyerang Anwar Ibrahim.

Jika dilihat kepada strategi politik yang sedang digunakan oleh UMNO melalui media massa dan blogger-blogger yang cenderung kepada BN, adalah jelas UMNO menggunakan strategi menghentam personaliti. Anwar, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim, Tuan Guru Nik Aziz dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang lain dihentam bertubi-tubi oleh saluran-saluran informasi BN ini. Sebagai anak muda yang mengikuti perkembangan politik, saya rasa strategi politik ini amatlah dangkal. 
Perlu diingatkan, berjuta-juta pengundi di negara ini tidak mendaftar dengan parti-parti politik. Berjuta-juta pengundi adalah mereka yang duduk di atas pagar. Sebahagian besar daripada golongan ini adalah anak-anak muda dan belia. Golongan ini bersikap terbuka menyokong dasar-dasar yang baik, menolak dasar-dasar yang bodoh dan tidak mengundi berdasarkan personaliti. Dalam erti kata lain, serangan-serangan BN terhadap personaliti pemimpin PR TIDAK akan mengubah pendirian golongan ini dalam proses pengundian nanti. 
Golongan ini kebanyakannya sudah tidak peduli lagi sama ada Anwar betul-betul mempunyai hubungan songsang dengan Saiful atau sesiapa pun. Golongan ini juga hanya akan mentertawakan lawak bodoh yang menyatakan Anwar itu agen Amerika/Yahudi. Golongan ini malah tidak ambil pusing lagi jika Anwar akan menjadi Perdana Menteri atau tidak. 
Sakmongkol AK47 juga menyentuh tentang tahap intelek Anwar yang banyak digembar-gemburkan berbanding kefahaman beliau yang tidak seberapa. Adakah golongan ini peduli jika Anwar tidak khatam membaca buku Amartya Sen? Akan berubahkah penilaian politik mereka jika Anwar tidak memahami falsafah Thomas Hobbes dan John Locke? Adakah mereka akan beratur untuk menjadi ahli BN jika Anwar tidak pernah menyentuh hasil karya Ibnu Khaldun?
Jawabnya tidak. Kenapa? Mudah sahaja. Golongan atas pagar terutamanya anak-anak muda dan warga belia bukan mengundi mengikut personaliti. Anwar Ibrahim hanya seorang ahli politik yang memangkin perjuangan ke arah negara yang lebih baik. Jika tidak ada Anwar Ibrahim, mungkin ahli politik lain yang terkedepan. Boleh jadi Khairy Jamaluddin. Salahuddin Ayub. Husam Musa. Lim Guan Eng. Tony Pua. Razali Ibrahim. Nurjazlan Muhamad. Gobind Singh Deo. Saifuddin Abdullah. Mungkin juga ahli politik yang lain. Jika inginkan undi daripada golongan anak muda dan warga belia, BN (dan juga PR) wajib mencari jawapan kepada soalan-soalan yang relevan kepada mereka, bukan menghentam personaliti.
 


Comments
Loading...