Empangan Bakun: Faedah mencecah RM10 juta/bulan tahun 2011
Projek Empangan Bakun yang menelan kos RM7.3 bilion sehingga akhir tahun ini, bakal menjurus kepada tanggungan faedah setinggi RM10 juta setiap bulan, oleh pemiliknya Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB), mulai tahun 2011.
Sementara itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah membekalkan pinjaman sebanyak RM5.75 bilion kepada projek ini sehingga kini.
Menurut laporan media bahasa Inggeris tempatan, jemputan lawatan media oleh SHSB pada minggu lalu, menyaksikan bagaimana projek ini telah disiapkan 96% sehingga April tahun ini. Keperluan teknikal telah dipenuhi, dan kini hanya menunggu lampu hijau daripada kerajaan negeri untuk memulakan operasinya.
Faedah setinggi RM10 juta setiap bulan
Menurut Managing Director SHSB Zulkifie Osman, syarikatnya sedang menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk memulakan operasi menakung air. Operasi ini memerlukan tempoh tujuh bulan, sebelum ujian menjana elektrik dijalankan, agar memenuhi syarat minima operasi penjanaan elektrik.
SHSB terpaksa menanggung faedah setinggi RM10 juta setiap bulan mulai tahun depan, lantaran daripada penangguhan operasi penakungan air selama lima bulan dari apa yang dijadualkan sebelum ini. Oleh itu, Zulkifie berharap kerajaan negeri memberi kelulusan secepat mungkin agar kos projek empangan ini boleh dikurangkan.
Menurut Pengerusi SHSB Izzuddin Dali pula, kos pembangunan empangan adalah antara RM7.0 bilion hingga RM7.3 bilion (termasuk faedah dan pampasan) sehingga akhir tahun ini. Kos terus melonjak, memaksa agar operasi penakungan air dimulakan untuk mengurangkan kos yang ditanggung SHSB.
Di samping itu, SHSB sedang berunding untuk menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) dengan satu-satunya pembeli kuasa elektrik dari Projek Empangan Bakun, Sarawak Energy Bhd, dengan harapan agar ia dimeterai pada hujung tahun ini.
Projek mega zaman Mahathir
Mengikut rancangan Projek Empangan Bakun sebermulanya, penjana hidroelektrik ini akan meluluskan satu projek Kabel Penyaluran Dasar Laut yang bernilai RM10 bilion, untuk membekalkan kuasa elektrik kepada Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, projek ini terpaksa dimatikan.
Seterusnya, Sarawak Energy Berhad muncul sebagai satu-satunya pembeli kuasa elektrik dari Empangan Bakun. Malah, kuasa elektrik ini akan dijual pula kepada sebuah kilang peleburan aluminium di Sarawak, yang dimiliki oleh syarikat perlombongan kedua terbesar di dunia, Rio Tinto.